HomeUtamaKKIP terus menjadi pemangkin utama pelaburan dan peluang pekerjaan di Sabah -...

KKIP terus menjadi pemangkin utama pelaburan dan peluang pekerjaan di Sabah – Ewon

Read Time:2 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) terus memainkan peranan strategik sebagai antara taman perindustrian utama di Sabah yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, penjanaan peluang pekerjaan serta tarikan pelaburan berimpak tinggi.

Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick, berkata bagi memastikan persekitaran pelaburan yang lebih kondusif, efisien dan berdaya saing kepada para pelabur, usaha pemerkasaan infrastruktur dan utiliti akan terus diberi penekanan

Dalam masa yang sama, KKIP akan turut memberi penekanan kepada usaha memuktamadkan model pembangunan Taman Perindustrian Kota Belud (KBIP).

“Model pembangunan ini akan mengambil kira aspek perancangan guna tanah, penyediaan infrastruktur dan utiliti, serta keperluan industri lain bagi memastikan pembangunan yang terancang, berdaya maju dan mampan.

“Seterusnya, pelaksanaan pembangunan KBIP akan dilaksanakan secara berfasa bagi menarik kemasukan pelaburan baharu, merancakkan aktiviti perindustrian di Sabah, serta mewujudkan peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya ketika berucap di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dalam pada itu, Ewon berkata perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO) juga akan
terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi di Sabah.

Menurutnya, pada tahun hadapan, SEDCO dijangka menyiapkan empat projek
sambungan, Kedai Pulau Bum-Bum, Semporna; Bangunan rumah kedai Matunggong; Bangunan rumah kedai Weston; dan Kedai Padas Damit, Beaufort.

“Selain itu, dua projek sambungan sedang dalam pelaksanaan, iaitu Projek Kedai Tungku, Lahad Datu dan Kedai Pitas, yang masing-masing dijangka siap pada tahun 2027. Bagi projek baharu tahun 2026,
terdapat dua projek yang akan dimulakan, iaitu Kedai Sook dan Kedai Kinabatangan,” katanya.

Ewon berkata SEDCO juga akan meneruskan komitmennya dalam Pembangunan keusahawanan melalui pelaksanaan pelbagai Latihan Keusahawanan, termasuk program khusus seperti Skim Usahawan Siswazah dan Skim Usahawan Teknikal.

Selain itu, beberapa kursus peningkatan kompetensi perniagaan turut dirancang, antaranya Program Pensijilan Halal & MeSTI PMKS, Program Pemerkasaan Pembangunan PMKS (Perkhidmatan), Kursus Kompetensi Halal, serta Latihan Keusahawanan (Asas Perniagaan dan kemahiran terpilih).

“Dalam usaha memupuk nilai keusahawanan dalam kalangan generasi muda, Program Tunas Niaga juga dilaksanakan secara aktif melibatkan 40 buah sekolah menengah dan 1,000 orang pelajar,” katanya.

Menurut Ewon lagi SEDCO telah diberikan mandat sebagai pemaju dan agensi penyelia bagi pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat (TPEBK), termasuk penyediaan Pelan Induk Pembangunan bagi projek tersebut.

“SEDCO kini berada dalam proses pelantikan perunding untuk melaksanakan penyediaan Pelan Induk berkenaan,” jelasnya.

Terdahulu Ewon menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Sabah yang telah menyediakan peruntukan sejumlah RM105.67 juta bagi peruntukan perbekalan dan RM88.36 juta bagi peruntukan pembangunan.

Jumlah peruntukan ini jelas mencerminkan bahawa sektor perindustrian, keusahawanan serta pengangkutan adalah merupakan salah satu tunjang dan sandaran utama pembangunan ekonomi negeri ini.

Jelasnya, peruntukan ini akan diagihkan bagi pelaksanaan projek-projek di bawah seliaan agensi Kementerian saya, antaranya SEDCO, K.K.I.P Sdn. Bhd., POIC Sabah Sdn. Bhd. serta Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC) Sdn. Bhd.

Selain itu, peruntukan ini turut merangkumi dua Jabatan yang telah disenaraikan selaras dengan keutamaan Baharu Kementerian, iaitu Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) dan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

“Menerusi jumlah tersebut, sebanyak RM43.53 juta telah diperuntukan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan infrastruktur dan utiliti Taman-Taman Perindustrian di KKIP, POIC Lahad Datu dan SOGIP agar lebih kondusif dan menarik peluang pelaburan di Sabah.

“Dalam usaha berterusan meningkatkan ekonomi di serata pelosok daerah di Negeri ini, SEDCO telah diberi peruntukan keseluruhan berjumlah RM16.90 juta bagi melaksana projek-projek sedia ada melibatkan pembinaan rumah kedai dan premis-premis perniagaan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan Sabah serius tangani isu tanah rakyat – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular