HomeUtamaSabah alu-alukan pelabur China

Sabah alu-alukan pelabur China

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelabur asing, khususnya dari Republik Rakyat China, untuk meneroka peluang pelaburan strategik di Sabah bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah mempunyai potensi besar merangkumi pelbagai sektor utama termasuk industri minyak dan gas, tenaga, ekonomi biru, pelancongan, pertanian moden serta industri berkaitan teknologi hijau.

Katanya, kerjasama pelaburan dengan China dilihat berupaya memberi manfaat bersama, khususnya dalam pemindahan teknologi, penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan rantaian ekonomi tempatan.

“Sabah sentiasa mengalu-alukan pelabur asing yang berminat untuk melabur di negeri ini kerana banyak sektor ekonomi berpotensi yang boleh diterokai secara bersama dan berdaya maju untuk jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Zhu Xinglong, bersama pegawainya di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini pada Khamis.

Dalam pertemuan itu, Hajiji turut menyatakan harapan agar pejabat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu dapat membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan yang kondusif dalam kalangan komuniti perniagaan dan pelabur dari China.

Sementara itu, Dr. Zhu memberi taklimat mengenai pelbagai program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh pihaknya dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik, ekonomi dan kebudayaan antara Sabah dan China.

Beliau turut menjemput Hajiji menghadiri beberapa majlis rasmi anjuran pejabat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu pada tahun hadapan, selain menyampaikan jemputan lawatan rasmi ke beberapa wilayah di China bagi meneroka potensi kerjasama lebih luas.

Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bila Projek Hidroeletrik Upper Padas Akan Mula Beroperasi – ADUN Tamparuli

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular