KUNDASANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah menggesa semua ketua jabatan di daerah Tongod supaya merujuk dan berpandukan garis panduan terancang yang digariskan dalam buku Suara Kuamut – Pelan Pembangunan Daerah Tongod 2020–2030 bagi memastikan pelaksanaan pembangunan yang lebih tersusun dan berkesan.
Beliau menjelaskan, buku berkenaan menghimpunkan cadangan pembangunan yang telah dikenal pasti dan disusun oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), selain mempunyai potensi besar untuk dimajukan khususnya di kawasan Kuamut dan daerah Tongod secara keseluruhan.
Menurutnya, kerangka pembangunan yang terkandung dalam buku itu merupakan hasil cetusan idea beliau sendiri yang diterjemahkan sebagai misi dan visi jangka panjang bagi memacu pembangunan daerah Tongod sehingga tahun 2030.
Masiung berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Warga Kerja Pejabat Daerah Tongod di sebuah pusat peranginan di sini, semalam.
Pada majlis itu, turut diperkenalkan Pegawai Daerah Tongod yang baharu, Hazlan Jablee, bagi menggantikan Yuesri Ismail Yusof yang ditukarkan bertugas ke daerah Membakut.
“Menerusi misi buku Suara Kuamut, kita meletakkan IDS sebagai fasilitator, manakala Pegawai Daerah bersama ketua-ketua jabatan peringkat negeri dan persekutuan berperanan sebagai pelaksana dasar.
“Pendekatan wawasan ini juga menekankan penglibatan Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) dan pengamal adat, selain Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK),” katanya.
Beliau menegaskan bahawa setiap anggota perkhidmatan kerajaan perlu menjalin kerjasama dua hala yang erat dengan pemimpin di peringkat daerah agar semua aspek pembangunan dapat dilaksanakan secara holistik dan inklusif.
“Pegawai serta kakitangan kerajaan perlu berkhidmat dengan penuh keikhlasan. Jangan menganggap jawatan sekadar untuk menyara keluarga tanpa kesungguhan membangunkan masyarakat.
“Jangan memandang ringan rakyat yang datang berurusan hanya kerana anda seorang pegawai kerajaan,” tegasnya lagi.
Menurut Masiung, buku Suara Kuamut menggariskan lima teras utama serta 10 strategi pembangunan yang akan membentuk hala tuju masa depan daerah Tongod menjelang 2030.
Kerangka pembangunan itu merangkumi pelbagai sektor termasuk ekonomi, infrastruktur, pendidikan dan pembangunan modal insan, industri, sukan, kebudayaan, keagamaan, keselamatan, kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan penduduk pelbagai lapisan.
Kedua-dua Pegawai Daerah, Yuesri dan Hazlan, turut hadir bersama warga Pejabat Daerah Tongod pada majlis berkenaan.



