BEAUFORT : Program Sentuhan Kasih sempena sambutan Krismas terus menjadi platform penting dalam memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, program tersebut bukan sekadar menyampaikan sumbangan kebajikan, malah menjadi simbol kebersamaan rakyat Sabah yang saling menghormati kepelbagaian agama dan budaya.
Menurutnya, melalui program itu, sumbangan telah disalurkan kepada gereja-gereja, pemimpin masyarakat serta lebih 300 keluarga daripada golongan B40 yang menyambut perayaan Krismas tahun ini.

“Kita sentiasa bersama rakyat, bukan sahaja ketika mereka berdepan kesusahan, tetapi juga dalam meraikan perayaan.
“Inisiatif seperti ini mampu mengeratkan hubungan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan sempena Program Sentuhan Kasih dan Penyampaian Sumbangan Kepada Gereja DUN Lumadan di sini pada Ahad.
Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang Dtauk Matbali Musah.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata, program tersebut telah dilaksanakan secara berterusan selama enam tahun dan menjadi amalan tahunan dalam menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang agama.
Beliau turut menekankan keunikan Sabah yang sentiasa meraikan perayaan secara bersama, bermula dengan Krismas, diikuti Tahun Baharu Cina dan seterusnya Hari Raya Aidilfitri.
“Inilah kekuatan kita di Sabah. Kita hidup dalam suasana harmoni dan saling meraikan perayaan sebagai satu keluarga besar,” katanya.
Menurut beliau, usaha berterusan melalui program seumpama ini diyakini dapat mengukuhkan lagi semangat muhibah serta menjadikan kepelbagaian sebagai asas kekuatan masyarakat di kawasan DUN Lumadan.
Beliau berharap Program Sentuhan Kasih akan terus menjadi wadah penyatuan rakyat dan diteruskan pada masa akan datang demi kesejahteraan serta keharmonian bersama. – SABAH MEDIA



