HomeUtamaPembangunan luar bandar perlu dipertingkat untuk manfaat rakyat - Samad

Pembangunan luar bandar perlu dipertingkat untuk manfaat rakyat – Samad

Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh J Evachel John

BELURAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Datuk Samad Jambri @ Jamri mahu pembangunan luar bandar khususnya di kawasan ini terus dipertingkat secara menyeluruh bagi memastikan kesejahteraan rakyat terbela sepenuhnya.

Samad yang juga merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata, pembangunan luar bandar penting untuk merapatkan jurang kemudahan asas dan peluang ekonomi antara kawasan bandar dan pedalaman, selaras dengan usaha kerajaan negeri mewujudkan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif.

“Saya melihat inisiatif kerajaan Sabah melalui Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai pendekatan penting untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat, khususnya golongan B40 yang memerlukan sokongan berterusan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media.

Bagi Labuk, Samad berkata pada tahun ini (2026) tumpuan akan terus diberikan kepada beberapa masalah yang masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

Ini termasuklah isu penempatan setinggan di kawasan seperti Kampung Air dan Kampung Muanad 2, di Beluran yang memerlukan penyelesaian jangka panjang dan lebih sistematik.

Dalam masa sama, beliau berkata usaha memperkasa ekonomi rakyat Labuk akan terus menjadi antara fokus utama, khususnya dalam membantu penduduk luar bandar memperkukuh sumber pendapatan dan kelangsungan ekonomi keluarga.

Samad berkata, peningkatan taraf hidup rakyat perlu disokong dengan penyediaan infrastruktur asas yang mencukupi, terutama di kawasan luar bandar.

“Masih terdapat kawasan yang memerlukan bekalan air bersih, elektrik serta jalan perhubungan yang baik, dan perkara ini perlu diberi perhatian berterusan kerana ia merupakan asas kepada kualiti hidup rakyat,” katanya.

Mengulas isu sistem pembuangan dan pelupusan sampah di Kampung Kuala Sapi, Samad berkata perkara tersebut akan dibawa untuk pertimbangan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah pada bulan ini.

Sebelum ini, Sabah Media pernah melaporkan pandangan penduduk Kampung Kuala Sapi yang mengharapkan perhatian terhadap isu pembuangan dan pelupusan sampah di kampung berkenaan.

Untuk rekod, penempatan kampung itu terletak berhampiran sungai, dan ketiadaan sistem pembuangan serta pelupusan sampah yang sistematik menyebabkan segelintir penduduk terpaksa membakar atau membuang sampah ke dalam sungai.

Bagi penduduk yang mempunyai kenderaan, mereka terpaksa ke pekan Beluran sejauh kira-kira 26 kilometer atau 30 minit pemanduan bagi membuang sisa domestik.

RELATED ARTICLES
Utama

KKCCCI anjur seminar sehari tentang penipuan siber 10 Januari

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular