KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah melaksanakan operasi pembersihan parit komersial di sekitar pusat bandaraya Kota Kinabalu sebagai langkah proaktif bagi memastikan persekitaran bandar raya sentiasa bersih, teratur dan lestari.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi yang dijalankan selama 4 hari berakhir 23 Disember lalu itu melibatkan tiga kawasan utama iaitu Segama, Sinsuran dan Kampung Air, yang dikenal pasti sebagai kawasan komersial berisiko tinggi mengalami masalah saliran tersumbat.
Menurut DBKK, kerja-kerja pembersihan tersebut bertujuan mencegah berlakunya banjir kilat serta memastikan kelancaran sistem saliran akibat pengumpulan sampah sarap dan sisa pepejal komersial di dalam parit.

“Skop operasi meliputi pembuangan sisa pepejal, lumpur serta bahan buangan lain yang menghalang aliran air, selain pembersihan menyeluruh parit-parit utama di kawasan terlibat.
“Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan DBKK dalam mengekalkan tahap kebersihan bandar raya,” menurut kenyataan itu di sini pada Jumaat.
DBKK memaklumkan bahawa operasi pembersihan parit komersial akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa dan diperluaskan ke kawasan lain termasuk sekitar Bandaran, Jalan Gaya dan lokasi tumpuan awam yang lain.
Dalam pada itu, orang awam khususnya penjaja dan pengusaha premis perniagaan diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran dan membuang sampah di tempat yang telah disediakan.
DBKK menegaskan bahawa kebersihan bandar raya merupakan tanggungjawab bersama semua pihak demi kesejahteraan dan keselesaan warga Kota Kinabalu.- SABAH MEDIA / FOTO DBKK



