HomeUtamaKamus Timugon Murut kini boleh diakses secara digital

Kamus Timugon Murut kini boleh diakses secara digital

Read Time:1 Minute, 51 Second

PENAMPANG: Usaha memelihara bahasa Timugon Murut, yang bermula lebih dua dekad lalu, kini memasuki fasa baharu dengan pelancaran aplikasi Kamus Webonary Timugon Murut.

Pelancaran aplikasi digital ini diadakan sempena Malam Kebudayaan Persidangan Pendidikan Orang Asal Malaysia Ketiga 2025 (MIPCE 3) di J Borneo Native Village, di sini, pada 13 Disember lalu, sekali gus mengukuhkan usaha pemeliharaan bahasa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Malam Kebudayaan MIPCE 3, Rita Lasimbang, berkata penghasilan kamus tersebut adalah hasil perjalanan panjang yang bermula dari kerja lapangan, pengumpulan data dan penulisan manual, sebelum akhirnya dipersembahkan dalam bentuk digital.

Menurut beliau, sebelum versi digital diperkenalkan, kamus Timugon Murut dalam bentuk fizikal telah dibangunkan oleh pasangan pekerja lapangan Summer Institute of Linguistics (SIL), Richard dan Kielo Brewis.

Rita berkata Richard pernah berkhidmat sebagai penyelaras projek Kamus Timugon Murut (versi fizikal) dari tahun 1983 hingga 1997, iaitu selama 14 tahun, sebelum pasangan itu pulang ke Finland.

“Selepas itu, dari 1997 hingga 2003, saya meneruskan usaha mengumpul bahan kamus ini. Pada ketika itu, Kadazandusun Language Foundation (KLF) telah ditubuhkan pada 1994 dan saya baru kembali daripada latihan linguistik,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa KLF kemudiannya melantik seorang anggota komuniti Timugon, Silipah Majius, yang sebelum itu pernah bekerjasama dengan Richard dan Kielo, dan beliau berkhidmat bersama KLF selama enam tahun.

“Jika digabungkan tempoh 14 tahun usaha Richard dan Kielo dengan enam tahun kami meneruskan kerja ini, jumlahnya ialah 20 tahun, tidak termasuk tempoh mereka mempelajari bahasa Timugon di Tenom sebelum 1983,” katanya.

Rita berkata selepas lebih dua dekad, manuskrip kamus versi fizikal berjaya disiapkan, namun memerlukan peruntukan kewangan untuk tujuan percetakan.

“Kami menerima sumbangan RM55,000 daripada Kedutaan Finland di Kuala Lumpur, namun berdasarkan pengalaman menerbitkan Kamus Kadazandusun–Inggeris–Melayu sebelum ini, kos percetakan dianggarkan sekitar RM100,000, menyebabkan kami memerlukan tambahan RM45,000,” katanya.

Menurut Rita, beliau kemudiannya bertemu seorang presiden majlis yang bersetuju menyumbang RM45,000, sekali gus melengkapkan jumlah RM100,000 yang diperlukan untuk mencetak Kamus Timugon Murut–Melayu.

Beliau berkata kamus yang mengandungi 22,627 perkataan itu dicetak pada tahun 2004 dan diedarkan kepada komuniti Timugon di Kota Kinabalu.

“Kini, kamus ini dilancarkan dalam bentuk Webonary, iaitu kamus digital berasaskan dalam talian, sebagai kesinambungan usaha sekali gus membolehkan kamus bahasa Timugon Murut diakses secara lebih meluas,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Penduduk diingatkan berwaspada kemungkinan banjir – Ruslan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular