HomeUtamaPolis tumpaskan sindiket dadah, rampas syabu bernilai RM1.26 juta

Polis tumpaskan sindiket dadah, rampas syabu bernilai RM1.26 juta

Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Normimie Diun

PENAMPANG: Polis Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah selepas merampas 39.5 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM1.264 juta dalam satu serbuan di Taman Donggongon, di sini, Selasa lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kira-kira jam 11.30 malam di sebuah rumah yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan dadah.

Menurutnya, dua lelaki tempatan berusia 28 dan 29 tahun ditahan dalam serbuan berkenaan, selepas polis menemukan 40 bungkusan pelbagai saiz yang mengandungi syabu di ruang tamu rumah terbabit.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati keseluruhan dadah yang dirampas seberat 39.5 kilogram dan dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 160,000 penagih,” katanya pada sidang media di IPK Sabah di sini, hari ini.

Jauteh berkata, kedua-dua suspek merupakan warganegara Malaysia yang bermastautin di Kuala Lumpur dan berperanan mengambil dadah daripada syarikat penghantaran sebelum diedarkan semula di pasaran tempatan.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis benzodiazepine, manakala semakan rekod jenayah mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod kes lampau.

“Sindiket ini dipercayai menggunakan modus operandi menyeludup dadah melalui syarikat penghantaran dengan laluan laut dari Kuala Lumpur ke Sabah, menggunakan pintu masuk yang sah,” katanya.

Menurut beliau, dadah tersebut disembunyikan dalam papan pemotong yang diubah suai dengan ruang khas sebelum ditutup semula bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Jauteh berkata, pihak polis akan mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi memperketat kawalan serta pemeriksaan di pintu masuk negeri ini bagi membendung kemasukan dadah.

“Kita tidak menolak kemungkinan rangkaian sindiket ini lebih besar dan siasatan lanjut akan dilakukan termasuk kerjasama dengan JSJ Bukit Aman,” katanya.

Kesemua suspek kini direman sehingga 14 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

RELATED ARTICLES
Utama

Keperluan PT3, UPSR dikaji semula

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular