HomeUtamaX gagal laksana langkah perlindungan, MCMC arah sekatan sementara ke atas Grok

X gagal laksana langkah perlindungan, MCMC arah sekatan sementara ke atas Grok

Read Time:1 Minute, 24 Second

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kecerdasan buatan (AI) Grok kepada pengguna di Malaysia, berkuat kuasa mulai hari ini (11 Jan).

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Komunikasi Korporat MCMC hari ini, tindakan tersebut diambil susulan kegagalan X Corp. dan xAI LLC melaksanakan langkah perlindungan berkesan bagi menghalang penyalahgunaan Grok dalam menjana kandungan lucah, seksual eksplisit, tidak senonoh melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan, termasuk yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.

Menurut MCMC, penyalahgunaan itu berterusan walaupun libat urus kawal selia telah dilaksanakan dan notis rasmi dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC masing-masing pada 3 dan 8 Januari 2026.

Notis berkenaan menuntut pelaksanaan langkah perlindungan teknikal serta sistem penyeliaan kandungan yang berkesan bagi mencegah kandungan janaan AI yang berpotensi melanggar undang-undang Malaysia, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, maklum balas yang diterima daripada X Corp. pada 7 dan 9 Januari 2026 didapati hanya memberi tumpuan kepada mekanisme pelaporan oleh pengguna dan gagal menangani risiko sedia ada berpunca daripada reka bentuk serta pengoperasian alat AI berkenaan.

“MCMC mendapati pendekatan tersebut tidak memadai untuk mencegah kemudaratan serta memastikan pematuhan kepada undang-undang negara,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, sekatan sementara dikenakan sebagai langkah pencegahan wajar sementara proses perundangan dan kawal selia masih berjalan. Akses kepada Grok akan kekal disekat sehingga langkah perlindungan yang berkesan dapat dibuktikan, khususnya dalam melindungi wanita dan kanak-kanak.

MCMC turut memaklumkan pihaknya kekal terbuka untuk libat urus dengan X Corp. dan xAI LLC, tertakluk kepada pematuhan yang dapat dibuktikan terhadap undang-undang Malaysia.

Orang awam digesa melaporkan sebarang kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada MCMC dengan segera dan, jika perlu, membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

Ketua Menteri ketuai delegasi Sabah pada Permukiman Kerajaan Madani 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular