KINABATANGAN : Isu pengurusan sampah di kawasan pelancongan khususnya di Sukau, perlu ditangani dengan segera dan lebih tersusun bagi mengelakkan kesan buruk terhadap alam sekitar serta reputasi destinasi eko-pelancongan bertaraf antarabangsa itu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, masalah lambakan sisa pepejal di kawasan pelancongan bukan sahaja mencemarkan imej Sukau, malah berpotensi menjejaskan habitat hidupan liar, kualiti air Sungai Kinabatangan dan pengalaman pelancong.
Beliau berkata, sebagai kawasan yang kini diiktiraf sebagai Rizab Biosfera UNESCO, Sukau tidak boleh berkompromi dalam aspek kebersihan dan pengurusan sisa pepejal.

“Sekiranya isu ini tidak ditangani secara serius, ia boleh menjejaskan reputasi Sukau sebagai Rizab Biosfera UNESCO serta keyakinan pelancong, khususnya pelancong antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Taklimat Bersama Pengusaha Industri Pelancongan di Sukau Kinabatangan bagi mendengar pandangan, cadangan dan keperluan pemain industri berkaitan pembangunan pelancongan mampan.
Jafry berkata, antara cadangan yang dibincangkan ialah pembinaan rumah sampah sebagai langkah awal ke arah sistem pengurusan sisa yang lebih sistematik, efisien dan mesra alam.
“Kementerian akan meneliti cadangan ini secara terperinci bersama pihak berkuasa tempatan, agensi berkaitan serta komuniti setempat bagi memastikan penyelesaian yang praktikal dan mampan dapat dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kementeriannya sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar pandangan pemain industri dan penduduk setempat, sambil menekankan bahawa penyelesaian terbaik perlu datang dari lapangan, bukan semata-mata melalui perbincangan di peringkat pengurusan.
Menurutnya, kerajaan negeri komited untuk memastikan Sukau terus berkembang sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang bersih, terurus dan memberi manfaat langsung kepada rakyat setempat.- SABAH MEDIA



