HomeUtamaAhli politik dipenjara 16 bulan, didenda RM14,000 cabul peserta Unduk Ngadau

Ahli politik dipenjara 16 bulan, didenda RM14,000 cabul peserta Unduk Ngadau

Read Time:2 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU: Seorang ahli politik dijatuhi hukuman penjara selama 16 bulan dan denda berjumlah RM14,000 selepas didapati bersalah mencabul seorang peserta Unduk Ngadau Negeri 2021.

Phillip Among, 53, dikenakan hukuman itu selepas disabitkan bersalah terhadap empat pertuduhan yang dihadapinya.

Phillip, yang digantung daripada jawatannya sebagai Penyelaras Parlimen Sabah Star Bahagian Putatan susulan laporan polis berkaitan dakwaan serangan seksual, kelihatan tenang ketika Majistret Marilyn Kelvin memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Phillip, yang merupakan ketua teknikal pertandingan Unduk Ngadau 2021 ketika kejadian, disabitkan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan keempat, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM3,000, atau lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda, bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan ketiga, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 16 bulan dan denda RM5,000, atau lapan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Jumlah keseluruhan hukuman penjara adalah 43 bulan namun Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara bagi setiap pertuduhan berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan hari ini, bermakna Phillip hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 16 bulan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, namun memerintahkan hukuman denda dibayar hari ini.

Mengikut pertuduhan, Phillip telah mencabul peserta Unduk Ngadau berkenaan pada 19 Mei 2021, antara jam 2 petang dan 10 malam.

Kejadian pertama hingga keempat berlaku di tangga berhampiran Ever Best Photo di Asia City; Studio Darvel Bay Borneo Holidays Sdn Bhd di Asia City; di dalam sebuah kenderaan yang sedang bergerak ketika dalam perjalanan dari sebuah lokasi makan malam ke pejabat lama di bandar ini; dan di sebuah pejabat di Metro Town, di sini.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan pada 10 Jun 2021, manakala perbicaraan bermula pada 12 April 2022. Pada 12 Disember 2024, mahkamah memerintahkan Phillip membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil lapan saksi, manakala dua saksi pembelaan memberi keterangan di Mahkamah.

Untuk rekod, pada 19 Disember 2025, Phillip telah dihukum penjara lapan bulan dan denda RM5,000, atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda, bagi satu lagi pertuduhan mencabul seorang remaja dalam kes berasingan.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Dzul Elmy Yunus selepas mahkamah mendapati tertuduh bersalah mencabul seorang gadis berusia 18 tahun pada 17 April 2021, jam 11 malam, di ruang tamu Jesselton Capsule Inn, Asia City.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Phillip untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman bagi kes berkenaan sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah mewakili tertuduh manakala Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Yousof Tahir Mahmood mengendalikan pendakwaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Lesen tamat tempoh, bot lampu ditahan di perairan Tabawan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular