HomePendapatKeharmonian Pembangunan Sosioekonomi Dan Kelestarian Alam

Keharmonian Pembangunan Sosioekonomi Dan Kelestarian Alam

Read Time:3 Minute, 55 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Agenda pembangunan negara perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar. Keseimbangan ini penting bagi memastikan pembangunan mampan yang mampu mewujudkan hubungan harmoni antara manusia sesama manusia, serta antara manusia dan alam sekitar. 

Sejak kebelakangan ini, kesedaran rakyat terhadap konsep pembangunan mampan semakin meningkat, khususnya yang selari dengan prinsip ESG (Environmental, Social, Governance) yang kini mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan seharian.

Secara ringkas, ESG merangkumi tiga tunjang utama iaitu kelestarian alam sekitar (Environmental), kesejahteraan sosial merangkumi pekerja, pengguna dan komuniti setempat (Social), serta tadbir urus yang menekankan kepimpinan, pengurusan organisasi dan hak pemegang taruh (Governance). 

Dalam konteks ini, semakin banyak organisasi tempatan mula menerima pakai dan menerapkan prinsip ESG dalam amalan serta budaya kerja masing-masing. Sebagai contoh, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menetapkan sasaran agar keseluruhan portfolio pelaburannya berasaskan amalan ESG menjelang tahun 2030 menerusi pelaksanaan Polisi Pelaburan Mampan, Polisi Isu Keutamaan dan Polisi Sektor Keutamaan. 

Namun, di sebalik usaha tersebut, isu kelestarian alam sekitar terus meruncing dan menimbulkan kebimbangan di peringkat global. Laporan World Economic Forum Global Risks Report 2025 mengenal pasti empat risiko utama dunia dalam tempoh sepuluh tahun akan datang yang berkait rapat dengan alam sekitar, iaitu kejadian cuaca melampau, kehilangan biodiversiti dan keruntuhan ekosistem, perubahan kritikal kepada sistem bumi, serta kekurangan sumber asli. 

Di peringkat nasional, Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini menerbitkan Kompendium Perangkaan Alam Sekitar Malaysia 2025 yang memaparkan statistik alam sekitar negara merangkumi enam komponen utama, termasuk keadaan dan kualiti alam sekitar, sumber dan kegunaannya, pengurusan sisa, kejadian ekstrem dan bencana, penempatan penduduk serta penglibatan dan perlindungan alam sekitar. 

Antara dapatan penting laporan berkenaan ialah perubahan iklim negara yang menunjukkan trend membimbangkan pada tahun 2024. Purata suhu tahunan direkodkan antara 17.0°C hingga 32.0°C, dengan purata suhu maksimum menurun sedikit berbanding tahun sebelumnya, manakala purata suhu minimum pula menunjukkan peningkatan. Dari segi taburan hujan, hujan tahunan tertinggi dan terendah masing-masing mencatatkan peningkatan berbanding tahun 2023. 

Keadaan ini selari dengan peningkatan jumlah bencana banjir di seluruh negara, yang melonjak daripada 809 kejadian kepada 1,345 kejadian. Sarawak merekodkan jumlah tertinggi dengan 459 kejadian, diikuti Terengganu dan Kedah. 

Perubahan iklim turut memberi kesan besar terhadap agenda keterjaminan makanan negara. Kajian Universiti Sains Malaysia pada tahun 2020 menunjukkan sektor padi di Malaysia sangat sensitif terhadap perubahan iklim, dengan unjuran kemerosotan pendapatan petani secara ketara dalam jangka sederhana dan panjang sekiranya tiada langkah mitigasi berkesan diambil. 

Dalam konteks wilayah, Sabah merupakan antara negeri yang amat menitikberatkan kelestarian alam sekitar memandangkan ekonominya bergantung tinggi kepada sumber bumi seperti minyak dan gas, perladangan kelapa sawit, akuakultur serta sektor pelancongan berasaskan keindahan alam semula jadi. 

Statistik alam sekitar Sabah bagi tahun 2024 menunjukkan perubahan pada julat suhu dan taburan hujan berbanding tahun sebelumnya, sementara jumlah bencana banjir mencatatkan penurunan.

Dari segi kualiti udara, semua stesen meteorologi di negeri ini merekodkan lebih 100 hari pada kategori ‘Baik’ Indeks Pencemaran Udara (IPU), walaupun beberapa stesen menunjukkan penurunan bilangan hari dalam kategori tersebut, dengan stesen Kimanis mencatatkan beberapa hari pada tahap ‘Tidak Sihat’. 

Sabah ketika ini mempunyai enam stesen meteorologi utama yang memantau keadaan cuaca dan menyediakan data berkaitan, iaitu di Keningau, Kota Kinabalu, Kudat, Ranau, Sandakan dan Tawau. 

Dari sudut pengurusan hutan, Sabah terus menunjukkan prestasi memberangsangkan. Daripada keluasan hutan seluas lebih 4.6 juta hektar, sebanyak 77.6 peratus telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal. Keluasan kawasan yang dilesenkan untuk aktiviti pengusahasilan hutan serta pengeluaran kayu balak juga mencatatkan penurunan ketara, mencerminkan pendekatan lebih lestari dalam pengurusan sumber hutan negeri. 

Menyedari kepentingan keseimbangan antara pertumbuhan sosioekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, Kerajaan Sabah telah memperuntukkan dana yang besar menerusi Belanjawan Sabah 2026 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan alam sekitar, termasuk pemeliharaan biodiversiti, pengurusan sumber semula jadi, penguatkuasaan perlindungan hidupan liar serta pembangunan bioteknologi. 

Satu lagi perkembangan penting ialah kelulusan Rang Undang-Undang Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025, yang membuka ruang kepada penerokaan sumber hasil baharu melalui pasaran karbon domestik dan antarabangsa. Inisiatif ini selaras dengan komitmen negeri dalam usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050. 

Selain itu, inventori penyerapan karbon daripada hutan Sabah akan dilaksanakan, dengan hasil perdagangan kredit karbon dijangka dikongsi bersama komuniti tempatan sebagai insentif pemeliharaan hutan.

Pelaksanaan Ekonomi Biru Sabah yang merangkumi tenaga boleh diperbaharui laut, pemulihan terumbu karang, pengurusan sisa marin dan pembangunan komuniti pesisir turut mengukuhkan lagi komitmen negeri terhadap kelestarian alam sekitar. 

Keseluruhannya, kelestarian alam sekitar telah dikenal pasti sebagai elemen teras di bawah Pelan Pembangunan Negeri Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021–2025, sekali gus mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan yang inklusif, seimbang dan mampan untuk generasi masa hadapan. 

RELATED ARTICLES
Utama

PIBKS sokong cadangan UPSR, PT3 dikembalikan, nilai prestasi pelajar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular