KOTA KINABALU : Cadangan untuk mengembalikan semula peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) disifatkan sebagai langkah positif bagi menilai pencapaian serta kemajuan pelajar.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) SabahvDatuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, sistem peperiksaan itu bukan sahaja membolehkan penilaian prestasi pelajar dilakukan dengan lebih menyeluruh, malah membantu mengenal pasti potensi kejayaan mereka pada masa hadapan.
“Harapan kami di PIBKS adalah agar perancangan peperiksaan ini dikaji semula dengan teliti.
“Ini termasuk kemungkinan penambahbaikan supaya ianya selaras dengan peringkat dan keperluan semasa sistem pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi persekolahan hari pertama di Sekolah Menengah Maktab Sabah di sini pada Isnin.
Arif yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Maktab Sabah berkata, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga perlu mempertimbangkan strategi penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan peperiksaan dijalankan dengan baik dan berkesan.
Selain itu, cadangan pengecualian pemakaian tali leher kepada pelajar sekolah turut disambut baik.
Beliau berkata, langkah itu dilihat sebagai inisiatif positif untuk memudahkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan di sekolah dan memastikan murid selesa mengikuti proses pembelajaran.
“Cadangan-cadangan ini boleh dilaksanakan di seluruh sekolah dan menunjukkan bahawa kementerian mendengar pandangan pihak berkepentingan serta menitikberatkan kesejahteraan murid,” katanya. – SABAH MEDIA



