KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mahu semua pihak, khususnya Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) membantu kerajaan baharu GRS yang ada sekarang untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai pencapaian kerajaan di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, banyak pencapaian yang dilakar oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinannya, namun tidak dihebahkan secara menyeluruh kepada rakyat menyebabkan banyak perkara sebenar yang tidak diketahui mereka.
Katanya, kegagalan menghebahkan secara menyeluruh pencapaian kerajaan juga menyebabkan isu yang sering ditimbulkan di media sosial seperti air dan elektrik serta jalan rosak lebih menonjol sedangkan usaha menanganinya dilaksanakan oleh kerajaan GRS.
“Tuan-tuan boleh dianggap sebagai mata dan telinga kerajaan, tugas utama ialah. membantu menjelaskan dasar, program serta kejayaan Kerajaan kepada rakyat. Jadi, bantu sebarkan pencapaian kerajaan, banyak kejayaan yang kita laksanakan untuk rakyat.
“Melalui hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), kita telah mengangkat ekonomi Sabah, memulihkan ekonomi selepas COVID-19, menambah hasil dari RM4 bilion hingga RM7 bilion, rizab kita juga meningkat hingga melebihi RM8.6 bilion.
“Ini mesti disebarkan supaya rakyat tahu pencapaian kerajaan. Begitu juga pelaburan, contohnya di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) kawasan itu sudah penuh dan terbaru sebuah pelabur dari Singapura melabur RM31 bilion di sana dengan 6,000 hingga 7,000 peluang pekerjaan dijangka diwujudkan,” katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Menandatangani Aku Janji Jawatan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Negeri Sabah di Menara Kinabalu pada Selasa.
Katanya, jika kerajaan GRS dianggap gagal, SOGIP dan taman perindustrian lain di Sabah mungkin masing kosong hingga ke hari ini kerana tiada pelabur yang datang.
Sementara itu, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri akan memperkukuh pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 2.0 yang dijadual dilancarkan pada hujung bulan ini bagi memantapkan agenda ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat di seluruh negeri Katanya, pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ oleh Kerajaan GRS sejak 2021 berjaya meletakkan asas pembangunan yang kukuh dan memberi manfaat kepada rakyat dalam pelbagai sektor.
Selain aspek ekonomi, Hajiji berkata, Kerajaan juga terus memberi perhatian kepada pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat serta penambahbaikan infrastruktur asas seperti bekalan air dan rangkaian jalan raya melalui perancangan strategik di bawah SMJ 2.0.
Beliau menegaskan bahawa isu pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur yang berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat akan terus dibangkitkan dalam perbincangan bersama Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat Sabah.
Mengucapkan tahniah kepada semua PPM yang baharu mengangkat sumpah, beliau berharap mereka memainkan peranan aktif membantu Kerajaan menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat serta menjelaskan program dan kejayaan dasar Kerajaan secara berkesan.
“Saya mahu semua PPM menjalankan tugas dengan penuh integriti dan komitmen demi masa depan Sabah dan generasi akan datang,” katanya.
Hajiji menegaskan jawatan PPM merupakan satu amanah besar yang perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab sebagai jambatan antara Kerajaan dan rakyat di lapangan.
Seramai 45 orang PPM Negeri Sabah mengangkat sumpah jawatan serta menandatangani surat Aku Janji mereka.



