HomeUtama45,000 komputer riba disasarkan untuk pendigitalan sekolah di Sabah

45,000 komputer riba disasarkan untuk pendigitalan sekolah di Sabah

Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Sebanyak 45,000 unit komputer riba disasarkan untuk dibekalkan kepada sekolah-sekolah di seluruh Sabah bagi menyokong pelaksanaan pendigitalan pendidikan secara menyeluruh, merangkumi sekolah rendah, menengah dan prasekolah.

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib berkata, sasaran itu adalah berdasarkan rekod serta keperluan yang dikemukakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), khususnya bagi sekolah yang masih kekurangan peranti digital untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Menurutnya, pembekalan komputer riba itu akan dilaksanakan dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) namun tertakluk kepada persetujuan dan kelulusan peruntukan oleh pihak berkaitan.

“Komputer riba ini tidak diagihkan kepada murid secara individu, sebaliknya diserahkan kepada pihak sekolah.

“Sekolah akan menyediakan bilik khas seperti bilik sumber bagi menempatkan peranti ini supaya penggunaannya lebih terkawal dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Bantuan Laptop,Starlink Dan Solar Panel Sekolah Rendah Dan Menengah Sabah di sini pada Rabu.

Hadir sama Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Jordan Jude Ellron dan Pengarah JPNS Datuk Raisin Saidin.

James berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk merapatkan jurang digital antara sekolah bandar dan luar bandar di Sabah, selain memastikan murid tidak ketinggalan dalam arus pendidikan digital.

Katanya, JPNS kini sedang merumuskan hasil perbincangan berkaitan pelaksanaan pendigitalan sebelum mengemukakan permohonan rasmi peruntukan kepada MCMC.

“Inisiatif ini penting bagi memastikan sistem pendidikan di Sabah bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa serta keperluan pembelajaran masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, James berkata sebanyak 68 buah sekolah di Sabah dikenal pasti memerlukan kemudahan internet satelit Starlink berikutan ketiadaan perkhidmatan rangkaian internet konvensional.

Katanya, kemudahan itu disasarkan kepada sekolah-sekolah pedalaman bagi memastikan murid tidak tercicir daripada arus pembelajaran digital.

“Selain internet satelit, penyelesaian tenaga seperti sistem solar juga dicadangkan bagi sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik,” katanya.

Beliau menegaskan, usaha itu penting bagi memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam pemodenan teknologi, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan, seiring negeri-negeri lain di Malaysia. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KPDN Labuan berjaya selesai semua aduan pengguna sepanjang tahun lalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular