HomeUtamaPairin tidak tahu tentang ‘centralised collection system’

Pairin tidak tahu tentang ‘centralised collection system’

Read Time:4 Minute, 29 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Pairin Kitingan, menafikan mempunyai sebarang pengetahuan mengenai ‘centralised collection system’ yang didakwa diamalkan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Pairin, 85, membuat kenyataan itu ketika menjawab soalan peguam Datuk Ansari Abdullah dalam perbicaraan di peringkat pembelaan kes rasuah JANS yang sedang berlangsung.

Ansari: Adakah anda sedar tentang ‘centralised collection system’yang didakwa digunakan oleh Jabatan Air antara 2009 hingga 2016, di mana kontraktor dikatakan membuat sumbangan yang kemudiannya diagihkan kepada pegawai kanan jabatan, pegawai kanan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Infrastruktur?
Pairin: Saya tiada pengetahuan tentang sistem sedemikian.

Pairin yang pernah berkhidmat dalam Kabinet Sabah dari 1976 hingga 2018 memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat dalam perbicaraan melibatkan Ag Tahir Mohd Talib, dan isterinya Fauziah Ag Piut, serta bekas timbalan pengarah Lim Lam Beng.

Ketiga-tiga tertuduh berdepan dengan pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta, serta pemilikan barang mewah secara tidak sah antara Oktober dan November 2016.

Dalam keterangannya, Pairin, yang mengambil alih jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur daripada Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah, juga menafikan keterangan saksi pendakwaan ke-29, Teo Chee Kong yang mendakwa memberi sumbangan kepada Pairin pada 2009 sehingga September 2016.

“Keterangan ini tidak betul,” kata Pairin ketika dirujuk kepada soalan dan jawapan ke-116 (keterangan Teo).

Teo dalam keterangannya sebelum ini dipetik sebagai berkata “Seingat saya, Datuk Raymond Tan sebagai Menteri Kementerian Pembangunan Infrastuktur saya mula memberi sumbangan pada suku tahun kedua 2005 sehingga 2009. Untuk Tan Sri Pairin pada 2009 sehingga September 2016.”

Ansari: Adakah sesiapa daripada SPRM menemu bual anda mengenai isu ini atau soal siasat berkaitan Jabatan Air pada 2016 yang membawa kepada penahanan tertuduh pertama Ag Tahir, Pengarah, tertuduh ketiga Lim, bekas timbalan pengarah, dan Teo Chee Kong, timbalan pengarah pada masa itu?
Pairin: Saya tidak dapat mengingati sebarang temu bual sebegitu.

Ansari: Adakah anda membaca di surat khabar mengenai keterangan ini?
Pairin: Mungkin ia dilaporkan tetapi saya tidak mengingati membacanya.

Menjawab soalan lain, Pairin mengesahkan bahawa sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Jabatan Air berada di bawah kawalan dan tanggungjawabnya.
Beliau juga mengaku mengenali tertuduh pertama Ag Tahir dan tertuduh ketiga Lim yang berada di kerusi tertuduh.

Ansari: Semasa tempoh anda memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur, anda merupakan menteri yang bertanggungjawab terhadap tertuduh pertama yang ketika itu adalah Pengarah Jabatan Air. Bagaimanakah penilaian anda terhadap pelaksanaan tugas dan fungsi beliau?
Pairin: Jabatan Air telah menjadi subjek banyak aduan kerana selama bertahun-tahun bekalan air tidak mencukupi dan isu air tidak berpendapatan (NRW) turut berlaku. Kami cuba atasinya dengan menukar semua paip air tetapi masalah dana menyebabkan sasaran pembaikan tidak dapat dicapai tepat pada masanya semasa saya memegang jawatan. Saya ingat ada keperluan untuk menilai pegawai terbabit tetapi saya dinasihati supaya tidak berbuat demikian.

Ansari: Setelah berkhidmat sebagai ketua menteri, timbalan ketua menteri dan menteri pembangunan infrastruktur, bolehkah anda maklumkan kepada mahkamah sama ada Pengarah Jabatan Air mempunyai kawalan penuh terhadap dana yang diperuntukkan dan dibelanjakan serta pelantikan kontraktor untuk kerja Jabatan Air?
Pairin: Saya percaya beliau mempunyai kawalan ke atas dana tertakluk kepada prosedur tertentu. Pelantikan kontraktor juga tertakluk kepada prosedur tertentu.

Ansari: Adakah benar bahawa Arahan Perbendaharaan dikenakan ke atas kementerian anda dan semua jabatan di bawahnya semasa anda memegang jawatan Menteri Pembangunan Infrastruktur?
Pairin: Ya.

Ansari: Adakah anda mengetahui nilai kerja kontrak yang diuruskan oleh jabatan dan nilai kerja kontrak yang diuruskan oleh Kementerian Pembangunan Infrastruktur atau Kementerian Kewangan?
Pairin: Tidak sehingga ia ditunjukkan kepada saya.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Haresh Prakash Somiah, Pairin bersetuju bahawa walaupun menjadi Menteri Pembangunan Infrastruktur, beliau tidak terlibat dalam urusan harian JANS.

Haresh: Adakah anda bersetuju bahawa walaupun menjadi Menteri Pembangunan Infrastruktur, anda tidak terlibat dalam urusan harian JANS?
Pairin: Betul.

Haresh: Anda bersetuju bahawa urusan harian JANS diserahkan kepada pengurusan kanan, iaitu pengarah dan timbalan pengarah?
Pairin: Betul.

Haresh: Anda berkata mengenali Ag Tahir dan Lim, bolehkah anda jelaskan bagaimana anda mengenali kedua-dua individu ini?
Pairin: Sudah lama, tetapi semasa tempoh jawatan saya, mereka adalah pegawai di bawah kementerian saya.

Haresh: Pegawai di kementerian anda bermaksud pegawai JANS, betul?
Pairin: Ya.

Haresh: Anda telah dirujuk kepada soalan ke-116 (keterangan saksi pendakwa ke-29 iaitu Teo), bolehkah anda nyatakan bila anda mula menyedari keterangan ini?
Pairin: Daripada akhbar, selepas beliau memberi keterangan di mahkamah.

Haresh: Boleh anda sahkan anda tidak membuat laporan polis atau laporan kepada SPRM selepas mengetahui perkara ini?
Pairin: Tidak, saya tidak membuat laporan polis atau laporan SPRM.

Haresh: Dalam tempoh anda sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur, adakah anda pernah bertemu tertuduh pertama dan ketiga?
Pairin: Hanya semasa sesi taklimat dan lawatan saya ke premis Jabatan Air di beberapa daerah.

Semasa menjawab DPP Mahadi Abdul Jumaat, Pairin mengesahkan beliau pernah bertemu Teo Chee Kong semasa taklimat dan lawatan rasmi, dan bersetuju dengan kemungkinan pernah bertemu lebih daripada sekali.

Mahadi: Semasa tempoh anda sebagai Menteri Pembangunan Infrastruktur, pernahkah anda bertemu seorang pegawai JANS bernama Teo Chee Kong?
Pairin: Ya, semasa taklimat dan lawatan.

Mahadi: Saya ingin katakan bahawa anda telah bertemu beliau lebih daripada sekali, betul?
Pairin: Saya pasti sepanjang tempoh jawatan saya, saya mesti pernah bertemu beliau lebih daripada sekali.

Mahadi: Tan Sri, saya juga ingin mencadangkan bahawa anda mengenali Teo Chee Kong dalam kapasiti rasmi sebagai Menteri, dan tiada hubungan peribadi.
Pairin: Saya bersetuju.

Pairin merupakan antara saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan kepada pihak pembelaan.

Perbicaraan bersambung esok.

RELATED ARTICLES
Utama

Pameran Seni Amal Remaja ARTIVO Sabah 2025 kumpul dana RM35,875

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular