Laporan Khas Oleh Normimie Diun
Foto/Video Shane, Alexter Rosalia
KOTA KINABALU: KKIP Aerospace Training Centre terus memainkan peranan strategik dalam memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di Sabah selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ), kata Pengurus Besar Bahagian Perkhidmatan Korporat pusat latihan itu, Jennifer Balanting.

Jennifer berkata pusat latihan berkenaan yang beroperasi sejak 2019 merupakan pusat latihan aeroangkasa pertama di Sabah dan Borneo di bawah naungan KKIP Sdn Bhd, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat tempatan dalam industri aeroangkasa.
“KKIP Aerospace Training Centre adalah satu-satunya pusat latihan aeroangkasa di Sabah yang berperanan melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi melalui latihan berstruktur dan berasaskan keperluan industri,” katanya ketika sesi temubual khas bersama Sabah Media.


Menurut beliau, pusat latihan itu menyokong pelan pembangunan modal insan SMJ dengan menyediakan latihan teknikal berstandard industri yang melahirkan graduan kompeten, berdaya saing serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara mampan.
Mengulas kerjasama strategik, Jennifer berkata KKIP Aerospace Training Centre telah menjalin hubungan erat dengan pemain industri dan agensi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Sabah Air, Malaysia Airlines Berhad Engineering Services (MABES), AirAsia, Batik Air serta agensi di bawah Kementerian Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.
“Kerjasama ini membolehkan pemindahan teknologi dan kemahiran secara langsung kepada anak-anak Sabah. Pelajar didedahkan kepada persekitaran industri sebenar melalui latihan praktikal dan on-the-job training (OJT) menggunakan peralatan serta prosedur yang mematuhi piawaian CAAM,” katanya.

Beliau berkata pendekatan itu secara tidak langsung meningkatkan tahap kompetensi serta kebolehpasaran graduan pusat latihan berkenaan.
Dari segi impak ekonomi, Jennifer berkata penubuhan KKIP Aerospace Training Centre memberi kesan langsung kepada pembangunan ekonomi di kawasan KKIP dan Sabah secara keseluruhan, selain membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada belia tempatan.
“Anak-anak Sabah kini tidak lagi perlu keluar negeri untuk mengikuti latihan aeroangkasa. Program seperti Category A1 Aircraft Maintenance Technician yang kami tawarkan membolehkan graduan memperoleh gaji permulaan sekitar RM2,500 dan ke atas selepas menamatkan latihan selama dua tahun,” katanya.

Menurut beliau, graduan yang memiliki lesen atau pensijilan profesional berpotensi menerima tawaran gaji lebih tinggi, sekali gus meningkatkan nilai ekonomi tempatan melalui aktiviti latihan, perkhidmatan teknikal dan industri sokongan.
Jennifer turut memaklumkan bahawa KKIP Aerospace Training Centre merancang untuk memperluas penawaran program termasuk latihan kru kabin (cabin crew) dan teknologi dron dalam masa terdekat bagi melengkapkan ekosistem industri aeroangkasa di KKIP.


“Kursus kru kabin atau perkhidmatan dalam penerbangan akan dilaksanakan melalui kolaborasi dengan universiti tempatan seperti North Borneo University College (NBUC) dan SIDMA College, melibatkan program diploma dan diploma lanjutan. Latihan praktikal dan keselamatan akan dijalankan di fasiliti KKIP Aerospace,” katanya.

Mengulas perancangan jangka sederhana dan panjang, beliau berkata pihaknya turut dalam usaha memuktamadkan perjanjian usaha sama (JV) antara KKIP Aerospace Training Centre dan Layang-Layang Aerospace bagi membangunkan sebuah bengkel Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) di Sabah.
Jennifer turut mengalu-alukan usaha membangunkan pusat MRO di Sabah sebagai langkah strategik memperkukuh ekosistem industri aeroangkasa negeri. Beliau berkata penubuhan kemudahan itu akan membolehkan kerja-kerja pembaikan dan baik pulih enjin pesawat, termasuk pesawat komersial, pesawat ringan dan helikopter, dilaksanakan di Sabah.
“Ia bukan sahaja memberi nilai tambah kepada program latihan kami, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada anak-anak Sabah,” katanya.
Menurut beliau, kemudahan MRO itu juga dijangka menarik minat pelabur industri sokongan, memperkukuh rantaian bekalan aeroangkasa tempatan serta menyokong pertumbuhan sektor penerbangan dan pelancongan negeri melalui peningkatan laluan penerbangan ke Sabah.
Sehubungan itu, Jennifer mengalu-alukan lebih ramai anak Sabah untuk menyertai Program Category A1 Aircraft Maintenance Technician yang disifatkan sebagai antara program berpermintaan tinggi dalam industri aeroangkasa.
“Kami mengajak belia Sabah merebut peluang ini kerana industri aeroangkasa memerlukan tenaga kerja mahir secara berterusan. Ini bukan sahaja membuka peluang kerjaya, malah menyokong pembangunan ekosistem aeroangkasa, pelaburan dan ekonomi negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Bertanggungjawab pusat latihan itu, Bonnie Too Hing Loong berkata, pusat latihan memberi tumpuan kepada latihan teknikal penyelenggaraan pesawat bagi memastikan graduan benar-benar bersedia memenuhi keperluan industri penerbangan.
“Latihan juruteknik kategori A1 dilaksanakan melalui struktur menyeluruh merangkumi latihan teori, praktikal dan latihan semasa bekerja (on-the-job training, OJT) dengan tempoh keseluruhan dua tahun. Penempatan pelatih di syarikat penerbangan rakan industri sepanjang tempoh OJT membolehkan mereka memperoleh pengalaman sebenar menyelenggara pesawat dan helikopter, sekali gus membentuk kefahaman jelas terhadap persekitaran kerja industri aeroangkasa,” ujarnya.

Tambah Bonnie, pusat latihan itu turut menyediakan laluan peningkatan kerjaya melalui perancangan latihan kategori B yang akan melahirkan juruteknik berlesen penuh dan berkelayakan profesional.
Mengulas kebolehpasaran graduan, Bonnie berkata hampir semua pelatih yang menamatkan latihan telah diserap bekerja hasil penilaian berterusan oleh majikan semasa OJT, dengan standard kelulusan minimum ditetapkan pada tahap tinggi.
Beliau menegaskan aspek keselamatan dan profesionalisme menjadi teras latihan KKIP Aerospace memandangkan industri penerbangan dikawal selia secara ketat serta memerlukan pematuhan penuh kepada piawaian teknikal dan operasi.
“KKIP Aerospace Training Centre akan terus memperkukuh latihan berasaskan industri bagi memastikan bekalan tenaga mahir tempatan mencukupi seiring pertumbuhan sektor penerbangan dan aeroangkasa negara,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Jaminan Kualiti KKIP Aerospace Training Centre, Mohd Redzuan Mohd Nordin berkata pusat latihan berkenaan menetapkan syarat minimum kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai kelayakan asas kemasukan ke program latihan Juruteknik Penyelenggaraan Pesawat (Aircraft Maintenance Technician).

Beliau berkata calon pelajar perlu memiliki sekurang-kurangnya kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik serta Sains atau Fizik bagi memastikan mereka mempunyai asas akademik yang kukuh untuk mengikuti latihan teknikal berstandard industri penerbangan.
“Program ini terbuka kepada lepasan SPM dari seluruh Sabah dengan keutamaan diberikan kepada anak negeri bagi melahirkan lebih ramai juruteknik penyelenggaraan pesawat tempatan berkemahiran tinggi,” katanya.
Menurut Redzuan, tempoh latihan di KKIP Aerospace Training Centre adalah selama dua tahun sebelum pelatih disalurkan ke industri penerbangan bagi mendapatkan pengalaman kerja sebenar.
Beliau berkata selepas menamatkan latihan, pelatih akan dianugerahkan Sijil Pengiktirafan dan seterusnya layak memohon Lesen Penyelenggaraan Pesawat (Aircraft Maintenance Licence, AML) kategori A1 yang dikeluarkan oleh CAAM.
Menurut beliau, latihan di pusat berkenaan dipantau sepenuhnya oleh CAAM dan berbeza daripada sistem universiti di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kerana ia menjurus secara langsung kepada pelesenan profesional industri penerbangan.
Nur Mysyerra Mansor, 24, mengikuti kursus Category A1 – Aircraft Maintenance Technician Aeroplane Turbine, batch 4, antara pelatih yang menerima biasiswa khas daripada Kerajaan Negeri Sabah untuk mengikuti program latihan aeroangkasa di KKIP Aerospace Training Centre.

Nur Mysyerra, anak sulung daripada empat adik-beradik, berkata beliau berasa bangga kerana berpeluang meneruskan pembelajaran di pusat latihan itu selepas menamatkan pengajian di Kolej Vokasional Beaufort.
“Pengalaman di sini sangat hands-on dan praktikal dengan pengajar. Kami belajar mengendalikan semua bahagian pesawat, termasuk komponen utama seperti landing gear, airframe system, electrical system, enjin dan sistem kawalan penerbangan,” katanya.
Nur Mysyerra memulakan latihan pada 2024 dan menjalani praktikal di AirAsia Digital Engineering (ADE) serta Batik Air Kuala Lumpur. Selepas menerima COR, dia bercadang menyertai Batik Air sebagai staf tetap dan beliau antara dua pelatih wanita dalam kumpulannya yang mengikuti program tersebut.

Manakala Rodney Jerry John Millip, 20, dari Category A1 – Aircraft Maintenance Technician Aeroplane Turbine, Part 66, batch 3, yang juga menerima biasiswa kerajaan negeri, berkata kursus di KKIP Aerospace memberi pendedahan praktikal yang luas dalam penyelenggaraan pesawat.
“Pengalaman pertama saya bekerja di ADE menggajar saya tentang keperluan pemeriksaan, penyelenggaraan minor dan defect rectification,” katanya.
Rodney merupakan anak bongsu daripada dua beradik, dan kursus ini membolehkan beliau mengembangkan kemahiran teknikal dalam industri penerbangan.


Pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan yang berlangsung di KKIP Aerospace Centre pada Rabu (15 Jan), seramai lapan graduan yang layak menerima sijil pengiktirafan iaitu Nur Mysyerra Mansor dan Rodney Jerry John Millip, Alan Julian George, Abagail Sikaanza Walter, Abram Jay Durikei Clarence, Arryen Moris Mahidal, Donovan Cliffords S. John dan Freddie Froline.
Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan Kumpulan, (Pembangunan) KKIP Sdn Bhd. Cecilia Amid. Turut dihadiri rakan strategik, kakitangan pengurusan dan tenaga pengajar pusat Latihan serta ibu bapa graduan.



