KOTA KINABALU: Seorang timbalan dan penolong pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) masing-masing dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan perbelanjaan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga, menjatuhkan hukuman terhadap Syahruddin Muhd Saleh, dan Sufri Hasan Mindar selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah manakala penmbelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.
Syahruddin, yang ketika kejadian merupakan Timbalan Pengarah SKMM Cawangan Sandakan, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda bagi setiap tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Manakala Sufri yang merupakan Penolong Pengarah SKMM Cawangan Beaufort, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Bagi kes Syahruddin, pertuduhan pertama hingga ketiga, Syahruddin didapati bersalah menggunakan dokumen palsu iaitu resit The Mark’s Lodge bertarikh 13 Jun 2014 berjumlah RM2,000; 178-Advertising Sdn Bhd bertarikh 12 Jun 2014 berjumlah RM290 dan Business Machines Service Centre bertarikh 11 Jun 2014 berjumlah RM1,700.
Pertuduhan menyatakan semua resit palsu tersebut digunakan dalam dokumen tuntutan bertajuk Reconciliation of Expenses Incurred For ‘KDB With Parliament Beluran’ bertarikh 24 Julai 2014 dan dikemukakan kepada seoarang Timbalan Pengarah Bahagian Kewangan SKMM .
Kesalahan itu dilakukan pada 24 Julai 2014 di Pejabat SKMM Sandakan.
Kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai tuntutan palsu atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi kes Sufri, tertuduh didapati bersalah menggunakan dokumen palsu iaitu invois Golden Sound Production bertarikh 30 Disember 2013 untuk menuntut perbelanjaan Memorandum Reconciliation of Expenses incurred for ‘Festival Begandang Beaufort 2013’ berjumlah RM4,900 pada 6 Januari 2014 di Menara MAA SKMM, di sini.
Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 30 orang saksi, manakala pihak pembelaan hanya memanggil empat orang saksi.
Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, mewakili Rekraj Singh menjalankan pendakwaan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Abdul Fikry Jaafar.



