KOTA KINABALU: Konsul Republik Korea, Choi Bongkyu yakin usaha berterusan Malaysia dan Korea Selatan dapat menjamin industri pelancongan yang lebih mampan di Sabah pada masa hadapan.
Menurutnya, keindahan alam semulajadi negeri ini termasuk pemandangan matahari terbenam menjadi tarikan utama pelancong antarabangsa walaupun terdapat turun naik jumlah pelancong akibat faktor pertukaran mata wang.
“Biasanya 200,000 rakyat Korea melawat ke sini, tetapi tahun lepas hanya terdapat kira-kira 150,000 orang.

“Pengukuhan nilai Ringgit Malaysia menjadikan mata wang Korea, won menjadi lemah dan jumlah pelancong dijangka menurun sekitar 125,000 orang. Jika nilai mata wang Korea mengukuh, lebih ramai pelancong akan kembali ke sini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Amandi Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Beliau berharap Sabah akan terus menjadi destinasi pilihan rakyat negara tersebut dengan beberapa syarikat penerbangan meneruskan penerbangan langsung Korea-Sabah bagi memudahkan akses pelancong.
Kunjungan beliau itu adalah pertemuan pertamanya dengan Yang di-Pertua Negeri selepas dilantik sebagai Konsul Republik Korea di Sabah pada November lalu.



