TELUPID: Kerajaan Sabah terus komited menyokong penganjuran dan sambutan pelbagai perayaan di negeri ini sebagai platform memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, rakyat Sabah amat bertuah kerana setiap perayaan yang diraikan sentiasa disambut bersama tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun fahaman politik.
Menurut beliau, perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Hari Natal bukan sekadar acara keagamaan atau kebudayaan, sebaliknya menjadi simbol kesatuan rakyat Sabah.

“Walaupun berbeza dari segi fahaman politik, agama dan kaum, kita masih dapat duduk semeja untuk meraikan perayaan-perayaan ini bersama-sama. Inilah kekuatan dan keistimewaan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hari Natal 2025 dan Tahun Baharu 2026 Peringkat DUN Telupid yang berlangsung di Dewan IPS Telupid, di sini pada Jumaat.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, turut menegaskan bahawa kesatuan merupakan kunci utama dalam memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Jangan kerana perbezaan yang wujud, kita hidup dalam keadaan yang tidak harmoni, sebaliknya, perbezaan inilah yang perlu diraikan dan dijadikan asas untuk saling memahami serta menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi Penganjur merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Dr Jonnybone Kurum, berkata rakyat Sabah telah membuktikan kemampuan hidup dalam suasana aman dan harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan keturunan.
“Keadaan aman dan harmoni ini merupakan keunikan Sabah, di mana masyarakatnya mampu hidup saling bertoleransi di sebalik perbezaan yang ada,” katanya.
Beliau turut mengajak semua pihak agar mengetepikan perbezaan politik selepas pilihan raya dan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan daerah Telupid.
“Pilihan raya telah selesai. Marilah kita buang segala perbezaan ideologi politik sepanjang kempen lalu dan bersama-sama bekerjasama membangunkan daerah Telupid demi kesejahteraan rakyat,” ujar beliau.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin tempatan, wakil jabatan kerajaan, pemimpin masyarakat serta penduduk setempat yang hadir di samping persembahan-persembahan pentas, bagi memeriahkan sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu dalam suasana penuh muhibah.



