HomeUtamaPembaharuan penting berkaitan MA63 dijangka dilaksanakan tahun ini

Pembaharuan penting berkaitan MA63 dijangka dilaksanakan tahun ini

Read Time:2 Minute, 23 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dijangka terus memacu pembaharuan penting perundangan dan institusi di Sabah, termasuk peluasan kuasa negeri dalam beberapa bidang utama bermula tahun ini.

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, berkata tahun 2026 akan menyaksikan kemajuan lanjut dalam pelaksanaan MA63, termasuk kemungkinan pengaktifan Artikel 95C Perlembagaan Persekutuan yang akan memberi kuasa kepada Sabah untuk menggubal undang-undang berkaitan sisa terjadual.

Katanya, langkah itu akan membolehkan Sabah meminda Enakmen Perlindungan Alam Sekitar bagi mengawal selia bahan berbahaya di negeri ini, sekali gus mengukuhkan peranan dan kuasa negeri dalam pengurusan alam sekitar.

Katanya, langkah itu akan membolehkan Sabah meminda Enakmen Perlindungan Alam Sekitar bagi mengawal selia bahan berbahaya di negeri ini, sekali gus mengukuhkan peranan dan kuasa negeri dalam pengurusan alam sekitar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 bagi Sabah dan Sarawak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.

Menurut Brenndon, kerajaan negeri juga akan terus mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara Persekutuan bagi mendapatkan semula kuasa kawal selia terhadap sektor pelancongan. Kuasa tersebut pada asalnya berada di bawah bidang kuasa negeri sebelum dipindahkan ke Senarai Persekutuan melalui pindaan perlembagaan pada tahun 1994.

Katanya, pengembalian kuasa pelancongan kepada negeri adalah penting kerana Sabah mempunyai keunikan geografi dan potensi ekonomi tersendiri yang memerlukan dasar khusus dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat setempat.

Brenndon turut menghargai pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63, mengenai peranan Yang di-Pertua Negeri (TYT) di Sabah dan Sarawak dalam memperakukan calon yang layak dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman oleh Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, walaupun proses ini kini dijalankan secara pentadbiran, telah dipersetujui bahawa pindaan kepada Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Perlembagaan Persekutuan perlu dibuat untuk memastikan kuasa ini kembali secara rasmi kepada negeri.

Dalam ucapannya, Brenndon turut menyentuh mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang perundangan yang kini semakin meluas, terutamanya dalam analisis kontrak, penyelidikan undang-undang dan kerja-kerja ‘due diligence’.

Beliau berkata, penggunaan AI dalam sektor perundangan bukan lagi sesuatu yang boleh dielakkan dan perubahan yang dibawa oleh teknologi itu dijangka berlaku dengan pantas.

“AI bukan sahaja membantu mempercepatkan kerja-kerja undang-undang, malah berpotensi digunakan dalam proses rundingan, perancangan dan pembuatan keputusan. Ia juga boleh membantu mengurangkan jurang keadilan dengan menjadikan perkhidmatan guaman lebih mudah diakses oleh orang ramai,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa teknologi tidak mampu menggantikan sepenuhnya peranan manusia, khususnya dalam membuat pertimbangan profesional, memahami sensitiviti tempatan dan menjalankan tugas secara beretika.

“Masih banyak perkara yang memerlukan sentuhan dan pengalaman manusia, termasuk kemahiran berhujah di mahkamah dan tanggungjawab profesional sebagai peguam,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran V. Murugeson; serta wakil-wakil daripada profesion perundangan.

RELATED ARTICLES
Utama

Mohd Shafiqin, Siti Ainul Suffiah wakili Beluran ke MTQ Bahagian Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular