HomeUtamaSLS akan lebih giat terangkan hak Sabah dalam Perlembagaan

SLS akan lebih giat terangkan hak Sabah dalam Perlembagaan

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) akan memainkan peranan lebih proaktif dalam mendidik rakyat Sabah tentang hak dan peraturan perlembagaan yang menjadi teras Persekutuan.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, berkata peruntukan perlembagaan ini bukan konsep abstrak, sebaliknya merupakan sebahagian daripada sejarah undang-undang Sabah dan realiti undang-undang semasa.

“Kami akan mengambil peranan lebih proaktif untuk mendidik rakyat Sabah mengenai hak perlembagaan yang membentuk Persekutuan ini, kerana ia bukan sekadar peruntukan abstrak. Ia sebahagian daripada sejarah dan realiti undang-undang Sabah,” katanya pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 bagi Sabah dan Sarawak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Jumaat.

Nazim berkata inisiatif ini akan dilaksanakan melalui jawatankuasa pembaharuan undang-undang SLS, projek penyelidikan, dan pasukan advokasi perlembagaan, dengan menekankan bahawa usaha ini adalah tanggungjawab institusi.

“Kerja ini dijalankan melalui jawatankuasa pembaharuan undang-undang, projek penyelidikan, dan pasukan advokasi perlembagaan yang merupakan tanggungjawab institusi,” katanya.

Nazim merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi yang diputuskan di Sabah pada Oktober 2025, yang menurutnya bukan sekadar menyelesaikan pertikaian undang-undang, tetapi menegaskan prinsip asas perlembagaan  bahawa mahkamah di Malaysia adalah bebas dan berpandukan undang-undang.

“Isu-isu yang dibawa ke mahkamah ditentukan berdasarkan prinsip undang-undang, bukan keselesaan politik, dan tanpa mengambil kira sentimen atau tekanan,” katanya.

Nazim menambah bahawa litigasi perlembagaan baru-baru ini yang melibatkan hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk hal berkaitan kewangan antara Persekutuan dan negeri, menunjukkan satu kebenaran asas iaitu tanggungjawab perlembagaan tidak luput dengan masa.

“Apabila tanggungjawab perlembagaan diabaikan bertahun-tahun, mahkamah tetap mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk melaksanakan Perlembagaan kerana Perlembagaan bukan pilihan,” katanya.

Beliau memetik Malcolm X, berkata sejarah “adalah memori rakyat” dan hak yang tidak diingati akan menjadi hak yang tidak dihormati.

“Hak yang tidak dihormati lama-kelamaan akan dianggap seolah-olah tidak pernah wujud,” katanya.

Beliau menekankan bahawa SLS melihat susunan perlembagaan yang mempengaruhi Sabah bukan sebagai catatan sejarah semata-mata, tetapi sebagai tanggungjawab hidup yang terus membentuk tadbir urus, akauntabiliti dan keadilan dalam Persekutuan.

“SLS berpendapat bahawa susunan perlembagaan bukan sekadar catatan sejarah. Ia adalah tanggungjawab hidup yang terus membentuk tadbir urus, akauntabiliti, dan keadilan dalam Persekutuan ini.

“Sehubungan itu, SLS akan terus memajukan, mempertahankan, dan menerangkan apa yang menjadi hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, bukan sebagai isu politik, tetapi sebagai isu undang-undang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pembaharuan penting berkaitan MA63 dijangka dilaksanakan tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular