HomeUtamaPenguatkuasaan bersepadu perkukuh kelestarian Taman Kinabalu

Penguatkuasaan bersepadu perkukuh kelestarian Taman Kinabalu

Read Time:1 Minute, 15 Second

KUNDASANG : Pendekatan penguatkuasaan bersepadu melibatkan pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat terus menjadi tonggak penting dalam memastikan perlindungan serta keselamatan Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO kekal terpelihara.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kejayaan mengekalkan status Tapak Warisan Dunia selama 25 tahun tidak terhasil secara kebetulan, sebaliknya disokong oleh kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan, keselamatan dan kesihatan di semua peringkat.

“Kejayaan ini turut diperkukuh melalui penglibatan bersepadu pemegang taruh strategik khususnya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pejabat Daerah, serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain.

“kerjasama rentas agensi ini memastikan pelaksanaan undang-undang, keselamatan awam, kesiapsiagaan bencana, pengurusan kecemasan, serta penyelarasan pentadbiran berjalan dengan lancar dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Jubli Perak Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia ke-25 tahun di sini pada Sabtu.

Jafry berkata, kerjasama itu merupakan satu manifestasi sebenar konsep memperkasa pelindungnya dimana semua pihak memainkan peranan masing-masing secara kolektif bagi mengekalkan integriti Tapak Warisan Dunia.

“Namun demikian, dasar dan perundangan semata-mata tidak mencukupi tanpa penglibatan komuniti setempat.

“Komuniti merupakan rakan strategik utama dalam pemeliharaan Taman Kinabalu — sama ada sebagai Malim Gunung, Porter, Renjer Kehormat, atau melalui peranan Majlis Pemegang Adat Istiadat Gunung Kinabalu.

“Penglibatan ini memastikan pengurusan moden berjalan seiring dengan pemeliharaan nilai tradisi, adat, dan kesucian Gunung Kinabalu yang menjadi lambang identiti dan spiritualiti masyarakat Sabah,” katanya.

Menurutnya, ia adalah satu kekuaran sebenar kepada model pemuliharaan apabila ilmu moden dan kearifan tempatan saling melengkapi.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

PBBS rancang jadikan rumah tradisional Bisaya sebagai produk homestay

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular