Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Bermula sebagai rujukan muzik di media sosial, nama Datuk Mokhzani Ismail kini tertera sebagai pencipta lagu terbaharu Arddley Nicholas.
Lagu Sandiwara Cinta menjadi bukti kepercayaan Mokhzani terhadap potensi vokal Arddley sekali gus menandakan kemunculan semula penyanyi dan guru muzik dari Tambunan itu, selepas beberapa tahun menyepi.
“Selepas sekian lama berdiam diri dalam industri nyanyian, tahun ini saya rasa tiba masanya untuk kembali. Sandiwara Cinta menjadi titik permulaan kepada kemunculan semula saya, dan ia sangat istimewa kerana lahir daripada kepercayaan serta peluang yang diberikan kepada saya.
“Saya sangat bersyukur kerana Sandiwara Cinta adalah ciptaan sepenuhnya Maestro dan Jazz Pianist terkemuka Malaysia, Datuk Mokhzani Ismail.
“Beliau merupakan figura penting dalam industri muzik Malaysia, dan peluang untuk bekerjasama dengan beliau adalah satu penghormatan besar buat saya sebagai penyanyi,” katanya.
Sebelum dikenali sebagai penyanyi, Arddley menempuh dunia muzik sebagai pemain piano dan keyboard. Pada usia 18 tahun, minatnya terhadap muzik jazz mula berputik, dan ketika itulah nama Mokhzani menjadi rujukan utama dan sumber inspirasinya.
“Saya sering menonton video Datuk Mokhzani bermain piano di Facebook dan sangat meminati cara beliau bermain. Saya cuba mengimitasi caranya dan menangkap ‘licks’ daripada video piano Datuk.
“Satu ketika, saya memberanikan diri meminta tips piano daripada Datuk menerusi Messenger Facebook, dan saya terkejut apabila beliau sangat rendah hati serta tidak lokek berkongsi ilmu jazz,” kata Arddley, yang juga pernah menjadi pemain keyboard kumpulan band Sabah, Dominant 5th.
Keberanian itu membuka ruang pengalaman muzik yang tidak dijangka dan Arddley bertemu idolanya buat pertama kali semasa menghadiri Masterclass Jazz Piano di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

‘Cover’ Malaysia Prihatin menjadi titik permulaan
Titik sebenar yang membawa kepada penciptaan lagu Sandiwara Cinta berlaku kira-kira empat tahun lalu, apabila Arddley merakamkan versi ‘cover’ lagu Malaysia Prihatin yang dinyanyikan Ernie Zakri.
“Saya sangat kagum dengan arrangement orkestra Datuk Mokhzani, Malaysia Prihatin yang dinyanyikan Ernie Zakri.
“Level arrangement orkestra sangat luar biasa, voicings, harmony Datuk yang jarang didengari di Malaysia, rasanya macam dengar bunyi orkestra Disney. Dari kekaguman itu, saya kemudiannya merakamkan cover lagu berkenaan,” katanya.
Rakaman cover tersebut sampai ke perhatian Mokhzani, yang memahami tessitura suara serta gaya nyanyian Arddley, sekali gus mencetuskan idea untuk mencipta sebuah lagu khas untuknya.
Mengimbau saat pertama kali mendengar demo Sandiwara Cinta, Arddley mengakui lagu itu terasa dekat dengan dirinya.
“Kali pertama saya mendengar melodi lagu ini, saya terus jatuh cinta. Ia benar-benar sebati dengan jiwa dan karakter suara saya. Seolah-olah lagu ini memahami emosi yang ingin saya sampaikan,” katanya.
Menariknya, proses rakaman lagu ini berlangsung dalam suasana yang sangat santai dan bebas tekanan, sesuatu yang jarang dialami Arddley sebelum ini.
“Melalui pengalaman bekerja bersama Datuk Mokhzani, saya belajar konsep ‘embracing imperfections’. Dalam era Artificial Intelligence (AI) dan teknologi yang serba sempurna, ketidaksempurnaan itulah yang memanusiakan sesuatu hasil karya,” katanya.
Menurutnya, pendekatan itu menjadikan Sandiwara Cinta sebuah lagu yang lebih genuine, jujur dan lahir dari hati.
Mengulas lanjut, pemenang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-23, berharap Sandiwara Cinta menjadi pembuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya.
“Saya berharap Sandiwara Cinta dapat diterima dan menyentuh hati para pendengar, sama seperti mana lagu ini menyentuh perasaan saya sejak awal lagi,” tambahnya.
Mengakhiri perbualan, Arddley merakamkan penghargaan kepada peminat yang terus setia menyokong perjalanannya.
“Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus. Semoga Sandiwara Cinta menjadi pembuka lembaran baharu dalam perjalanan seni saya dan dapat menemani emosi para pendengar.”
Single Sandiwara Cinta kini boleh distrim di semua platform penstriman digital utama, manakala video lirik rasmi boleh ditonton di YouTube Kelarai Sakti.



