Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Seorang guru yang menggunting tudung pelajar di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu telah ditukarkan ke sekolah lain.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, tindakan itu telah diambil melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu.
“Saya difahamkan guru tersebut telah ditukarkan ke sekolah lain dan turut memohon maaf kepada ibu bapa murid yang terlibat. Guru berkenaan juga telah mengganti tudung murid yang digunting.
“Tindakan menukar guru berkenaan ke sekolah lain telah dilaksanakan oleh PPD Lahad Datu. Manakala murid masih kekal berada di sekolah berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini.
Raisin berkata, pihaknya menyeru agar guru sentiasa melaksanakan tugas dengan berhemah dalam setiap tindakan dengan mempertimbangkan pelbagai faktor seperti kemampuan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
Beliau turut menasihati para pelajar agar sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
“Semua peraturan yang dilaksanakan adalah berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan untuk memberi kebaikan kepada murid.
“Saya juga berharap agar perkara seumpama ini tidak akan berlaku di sekolah lain,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial seorang guru menggunting tudung pelajar di sebuah sekolah menengah di daerah Lahad Datu dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ibu bapa terlibat.
Berdasarkan hantaran yang tular, kejadian tersebut dikatakan berlaku pada Jumaat iaitu hari kelima sesi persekolahan 2026 bermula.
Menurut dakwaan dalam hantaran berkenaan, beberapa pelajar perempuan telah digunting tudung mereka atas alasan tudung yang dipakai tidak memenuhi kriteria ditetapkan. – SABAH MEDIA



