KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperkenalkan peperiksaan Darjah 4 sekolah rendah mulai tahun 2026 sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula sistem penilaian pendidikan negara menerusi pengembalian Matriks Pembelajaran Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan menilai tahap penguasaan asas murid lebih awal tanpa perlu menunggu sehingga Darjah 6, sekali gus membolehkan intervensi dan penambahbaikan dilaksanakan lebih awal sebelum pelajar melangkah ke peringkat menengah.
“Mulai 2026, sistem Matriks Pembelajaran Malaysia akan dikembalikan, dengan peperiksaan Darjah 4 dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, peperiksaan Darjah 4 akan melibatkan lima subjek teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, selaras dengan keutamaan kerajaan dalam memperkukuh literasi, numerasi serta pemikiran kritikal murid.
Beliau berkata, tempoh dua tahun di Darjah 5 dan Darjah 6 akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membimbing murid yang dikenal pasti memerlukan sokongan tambahan sebelum memasuki Tingkatan 1.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut menstrukturkan semula laluan pendidikan awal dengan menggalakkan kemasukan prasekolah seawal umur lima tahun, manakala kemasukan Darjah 1 pada umur enam tahun akan digalakkan bermula 2027, tanpa menafikan kelonggaran kepada ibu bapa yang merasakan anak mereka belum bersedia.
Selain itu, laluan bakat pelajar akan diperkenalkan lebih awal bermula Tingkatan 1, berbanding Tingkatan 3 sebelum ini, dengan penekanan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta digital, bagi membolehkan pelajar membuat pilihan jurusan lebih awal.
Anwar menegaskan, keseluruhan reformasi ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan membentuk sistem pendidikan yang lebih fleksibel, inklusif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan. – SABAH MEDIA



