KOTA KINABALU : Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Negeri Sabah menyokong penuh terhadap Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai pelan hala tuju utama dalam memperkasa sistem pendidikan negara.
Pengerusi PIBKS Sabah Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, rancangan tersebut berpotensi besar untuk meningkatkan kualiti pendidikan, membentuk jati diri murid serta memastikan akses pendidikan yang inklusif dan saksama di seluruh negara, termasuk di Sabah.
Namun demikian katanya, PIBKS Sabah berpandangan bahawa kejayaan sebenar rancangan ini bergantung kepada pelaksanaan yang berkesan, konsisten dan berteraskan keperluan sebenar sekolah.
“Setiap agenda dan hasrat yang dirangka perlu diterjemahkan kepada tindakan nyata melalui penyelarasan dasar yang mantap, sokongan sumber mencukupi, pemantauan berterusan serta penambahbaikan berasaskan data.
“Keutamaan utama pelaksanaan rancangan ini harus memberi impak langsung kepada murid, khususnya dari aspek kemenjadian, kesejahteraan, peluang pembelajaran yang setara serta pengukuhan nilai dan sahsiah.
“Pada masa yang sama, ia perlu melahirkan generasi berdaya saing, berakhlak dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan Malaysia di peringkat global,” katanya dalan kenyataan di sini pada Rabu.
Arif berkata, pihaknya turut menzahirkan sokongan terhadap penglibatan aktif ibu bapa, komuniti dan sektor swasta sebagai rakan strategik pendidikan.
Katanya, kerjasama rentas pihak ini dilihat mampu memperkukuh ekosistem pendidikan, memperluas akses program sokongan kepada sekolah, meningkatkan kebajikan murid serta mewujudkan jaringan pembelajaran yang lebih bermakna dan berimpak tinggi.
” PIBKS Sabah juga menegaskan kepentingan mengambil kira konteks dan cabaran unik negeri Sabah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan isu akses, prasarana, capaian digital serta jurang sosioekonomi.
” Pendekatan yang fleksibel, berkeadilan dan sensitif kepada realiti setempat perlu diutamakan bagi memastikan tiada murid tercicir daripada arus pembangunan pendidikan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Arif berkata, PIBKS Sabah menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak sekolah, ibu bapa, komuniti dan sektor swasta untuk berganding bahu menjayakan RPN 2026–2035 melalui komitmen bersama, libat urus menyeluruh dan tindakan yang berfokus.
Katanya, pihaknya yakin bahawa dengan kerjasama padu semua pihak, rancangan ini mampu membawa perubahan besar kepada landskap pendidikan negara dan seterusnya memberikan impak positif yang berpanjangan kepada masa depan Malaysia. – SABAH MEDIA



