HomeUtamaInkues Zara: Wujud kemungkinan konflik Zara dengan ibu dan nenek

Inkues Zara: Wujud kemungkinan konflik Zara dengan ibu dan nenek

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini mendengar kemungkinan bahawa Zara Qairina Mahathir mempunyai konflik dengan ibu dan neneknya.

Ustaz Azhari Abd Sagap, yang dipanggil semula sebagai saksi (deponent), berkata seorang guru, Cikgu Dayang Azira telah berkongsi perbualannya dengan ibu Pelajar A susulan isu membabitkan kandungan dua muka surat diari Zara yang dibangkitkan.

Pelajar A merupakan salah seorang daripada lima remaja yang berdepan pertuduhan mencela Zara di Mahkamah Kanak-Kanak.

Azhari berkata, dalam perbualan tersebut, Dayang dimaklumkan oleh ibu Pelajar A bahawa ibu Zara pernah datang bertemu Zara, namun Zara dikatakan berpura-pura tidak mengenalinya.

Menurutnya, ibu Pelajar A turut memberitahu bahawa ibu Zara menunggu selama beberapa jam sebelum Zara didakwa menghamburkan kata-kata kesat terhadap ibu dan neneknya, menyebabkan ibunya tidak tahan dengan perkara itu.

Menjawab soalan peguam Shahlan Jufri, Azhari berkata beliau tidak mengingati bila tangkapan layar (screenshot) perbualan tersebut dikongsikan kepadanya, namun Dayang memaklumkan perkara itu pada pagi 17 Julai, sebelum beliau membawa seorang pelajar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Papar untuk merakamkan kenyataan

Azhari turut memaklumkan bahawa perbualan antara Dayang dan ibu Pelajar A dikongsikan kepadanya oleh Dayang susulan diari Zara yang ada tertulis frasa “kenapa hidup saya begini,” seolah-olah menunjukkan Zara sedang menghadapi masalah.

“Berkenaan chat Dayang Azirah, kenapa dia share dengan saya sebab saya ada bertanya ada lagikah yang dikatakan oleh ibu Pelajar A,” katanya.

Azhari turut menjelaskan bahawa dua muka surat diari tersebut tidak dikongsikan dalam mesyuarat, namun Cikgu Yuslina telah menghantarnya kepadanya dalam bentuk imej pada 17 Julai.

Menjawab soalan lain, Azhari berkata Cikgu Yuslina hanya membuat kesimpulan  secara ringkas berkenaan dua muka surat tentang masalah hidup Zara.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMKA Tun Datu Mustapha sekitar jam 3 pagi pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.

Pasukan peguam yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, ialah Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Peguam bagi bapa Zara, Mahathir Mohd Hashim, ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Peguam bagi saksi kanak-kanak pertama ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala peguam bagi saksi kanak-kanak kedua hingga keempat ialah Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.

Pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua Pegawai Imigresen Disyaki Langgar SOP Pengeluaran Pasport Ditahan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular