HomeUtamaPengusaha kedai serbaneka dikompaun, gagal patuhi peraturan jualan murah

Pengusaha kedai serbaneka dikompaun, gagal patuhi peraturan jualan murah

Read Time:1 Minute, 29 Second

LABUAN : Seorang pengusaha kedai serbaneka dikenakan kompaun selepas didapati gagal mematuhi peraturan jualan murah seperti ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah), Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan Junaidah Arbain berkata, tindakan tersebut diambil hasil pemeriksaan penguatkuasaan yang dijalankan pihaknya pada Jumaat.

“Sepasukan anggota ditugaskan menjalankan pemeriksaan di sekitar Bandar Labuan, manakala sepasukan lagi melaksanakan pemeriksaan di Kompleks Membeli-belah Ujana Kewangan.

” Fokus pemeriksaan pada hari ini adalah terhadap pematuhan peruntukan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] dan Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815].

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan telah mengadakan promosi jualan murah tanpa mengemukakan Notis Jualan Murah kepada Pengawal terlebih dahulu, sebagaimana yang diwajibkan di bawah perundangan berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Junaidah berkata, sekiranya disabitkan kesalahan di bawah Akta 730, pesalah individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh dikenakan sehingga RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

” Manakala bagi pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM500,000 boleh dikenakan dan bagi kesalahan seterusnya, denda boleh mencecah sehingga RM1,000,000,” katanya.

Sementara itu, Junaidah berkata, pihaknya memandang serius sebarang ketidakpatuhan berkaitan pelaksanaan promosi jualan murah kerana kegagalan mengemukakan Notis Jualan Murah boleh mengelirukan pengguna serta menjejaskan ketelusan transaksi perdagangan.

“Sehubungan itu, KPDN sentiasa memantau transaksi jualan serta permohonan jualan murah bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan pengguna menerima maklumat yang jelas, tepat dan telus.

“KPDN Labuan akan terus mempergiatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi melindungi kepentingan pengguna serta memastikan aktiviti perniagaan dijalankan secara beretika dan mematuhi undang-undang,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO KPDN LABUAN

RELATED ARTICLES
Utama

Kes amang seksual: Guru tahfiz dipenjara 12 tahun, dua sebatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular