Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu mahkamah bahawa suasana tegang semasa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir disoal siasat berhubung tuduhan kecurian oleh sekurang-kurangnya tiga pelajar senior.
Menurut peguam Shahlan Jufri, saksi mata ini juga diarahkan untuk “jangan tengok” dan “jangan pasang telinga”.
Katanya, saksi baru ini merupakan salah seorang pelajar yang telah memberi keterangan bertulis mengenai kejadian malam sebelum insiden berlaku.
Saksi mata ini dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan selepas pendedahan keterangan bertulis pelajar oleh seorang saksi pada pendengaran inkues lalu.
Shahlan, yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, menjelaskan bahawa soal siasat pertama melibatkan Zara disoal oleh dua pelajar senior berhubung tuduhan kecurian, manakala soal siasat kedua melibatkan Zara disoal oleh pelajar senior yang sama dan seorang lagi pelajar senior berhubung tuduhan kecurian.
Selain daripada dua soal siasat itu, seorang pelajar senior turut membacakan surat yang ditulis Zara, yang menyatakan hasratnya untuk menjadi pengawas.
“Semasa kejadian dalam dorm itu, terdapat pelajar senior bercakap dengan dorm saksi, jangan tengok, jangan pasang telinga… Saksi ada mengatakan, seperti yang sebelum ini, ada makian dikeluarkan dan saksi juga merasa ketakutan.”
Menurut Shahlan, setelah diarahkan tidak melihat, saksi mematuhi arahan kerana takut dimarahi.
Shahlan menambah bahawa kedua-dua soal siasat itu berlangsung sekurang-kurangnya 20 minit, manakala bacaan surat oleh Zara mengenai hasrat menjadi pengawas berlangsung 10 hingga 20 minit.
“Koroner juga mengambil kesempatan menyoal saksi baru ini tentang keadaan pada masa itu, dan saksi berkata suasananya tegang. Apabila ditanya sekiranya perkara sebegini selalu berlaku di sekolah, saksi berkata ‘ada, juga beberapa kali’.”
“Koroner bertanya, yang mana lebih menakutkan, kejadian sebelum-sebelum ini ataupun kes Zara? Mengikut saksi, kes Zara ini yang lebih menakutkan bagi dia pada masa itu,” kata beliau.
Prosiding inkues akan bersambung semula secara tertutup pada hari Isnin 26 Januari
dengan panggilan beberapa saksi kanak-kanak. Mahkamah akan bersidang untuk tiga hari sahaja pada minggu depan iaitu Isnin, Selasa dan Jumaat.
Pada bulan Februari, Mahkamah juga akan bersidang pada minggu pertama iaitu 2 Februari
hingga 6 Februari.
Tarikh-tarikh prosiding seterusnya akan ditetapkan pada masa terdekat.


