PUTATAN: Permuafakatan erat antara pihak sekolah dan ibu bapa penting dalam membentuk jati diri murid serta menjamin kualiti pendidikan yang mampan, sekali gus melahirkan pelapis kepimpinan negeri pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, kesinambungan jalinan kerjasama itu juga dilihat membentuk kecemerlangan anak-anak bukan sahaja bermula dari rumah bahkan di persekitaran sekolah.
Menurutnya, kecemerlangan murid perlu dibentuk secara menyeluruh bermula dari rumah dan diperkukuhkan dalam persekitaran sekolah, melalui peranan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama barisan tenaga pengajar.
Tambahnya lagi,, penglibatan ibu bapa menerusi PIBG mampu meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan insan berkualiti dan berdaya saing pada masa hadapan.
“Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha meningkatkan mutu pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid-murid di sekolah.
“Di samping itu, PIBG juga mempunyai peranan saling melengkapi terhadap fungsi Kementerian Pendidikan dalam menyediakan prasarana dan suasana sekolah lebih kondusif kepada para murid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMK Putatan, di sini, hari ini.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Penampang, Rusmadi Ahmad; Pengetua SMK Putatan, Zarida Mohd Junaidi, dan Naib Yang Dipertua PIBG SMK Putatan, Jamuludin Usman.
Mengulas lanjut, Shah Alfie berkata mesyuarat tahunan PIBG menjadi platform penting untuk menyelaras pandangan serta mencari penyelesaian bersama bagi memacu kecemerlangan sekolah secara berterusan.
“Sehubungan itu, kerjasama antara ibu bapa dan guru di SMK Putatan ini amatlah penting bagi memastikan sekolah ini terus mencapai visi kecemerlangannya.
“Bagi pihak ADUN, kita sentiasa komited memberikan kerjasama kepada pihak sekolah dalam mewujudkan persekitaran kondusif kepada tenaga pengajar, murid-murid dari semasa ke semasa,” katanya.




