SANDAKAN : Cadangan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Segaliud Fasa 2 dikenal pasti sebagai antara langkah kritikal yang perlu dipercepatkan bagi mengatasi masalah bekalan air yang berlarutan di daerah ini.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah Azrul Ibrahim berkata, penambahan sumber air baharu amat diperlukan bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat seiring pertumbuhan penduduk dan pembangunan di Sandakan.
Beliau berkata, selain cadangan pembinaan LRA Segaliud Fasa 2, penambahan tangki-tangki air di lokasi strategik turut dicadangkan bagi meningkatkan kapasiti simpanan air dan menstabilkan agihan bekalan, khususnya ketika berlaku gangguan atau permintaan tinggi.

“Isu bekalan air di Sandakan jelas memerlukan iltizam politik semua pihak untuk penyelesaian yang tuntas.
” Antara langkah kritikal yang perlu dipercepatkan ialah penambahan sumber air, khususnya melalui cadangan pembinaan LRA Segaliud Fasa 2 serta penambahan tangki-tangki air di kawasan strategik,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Azrul berkata, pihaknya turut meninjau LRA Sungai Sibuga yang dikendalikan oleh konsesi Timatch.
Katanya, loji berkenaan sepatutnya mampu beroperasi pada kapasiti 21 juta liter per hari (MLD), namun ianya hanya mampu mengeluarkan kurang empat MLD.
“Keadaan yang sama turut berlaku di LRA Hilltop, yang sepatutnya beroperasi pada kapasiti 15 MLD, tetapi kini hanya menghasilkan kira-kira 4 MLD air terawat.
“Walaubagaimanapun pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan konsesi memberi jaminan tambahan lebih kurang 2 MLD di LRA Hilltop dalam masa terdekat dan potensi tambahan yang sama di LRA Sungai Sibuga,” katanya. – SABAH MEDIA



