HomeUtamaBN pertahan kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag

BN pertahan kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag

Read Time:1 Minute, 27 Second

KINABATANGAN : Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kejayaan itu diraih menerusi kemenangan calon BN, Mohd Kurniawan Naim Moktar yang dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan, manakala Mohd Ismail Ayob dipilih secara rasmi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag.

“Alhamdulillah, calon BN berjaya mencatat kemenangan di PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

“Terima kasih kepada seluruh jentera BN yang bertungkus lumus siang dan malam demi memastikan segala gerak kerja berjalan lancar agar mendapat kejayaan di PRK kali ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya di sini pada Sabtu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin, yang buat pertama kali sebagai nakhoda utama jentera parti pada PRK kali ini.

Asyraf turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang PRK ini.

“Ini termasuklah seluruh jentera GRS serta jentera parti-parti Kerajaan Perpaduan Malaysia atas sokongan dan kerjasama yang diberikan sepanjang PRK ini.

” Semoga kebersamaan ini terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Sabah.

“Tahniah buat Mohd Kurniawan Naim Moktar yang dinobatkan sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan dan Mohd Ismail Ayob yang secara rasmi dipilih sebagai ADUN Lamag.

“Selamat berkhidmat, memikul amanah rakyat dengan penuh tanggungjawab dan meneruskan legasi kepimpinan hebat Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin,” katanya.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN); Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan); dan Goldam Hamid (Bebas).

Bagi DUN Lamag pula, pertandingan menyaksikan saingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan). – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Naim catat kemenangan bergaya di Kinabatangan, BN pertahan kerusi DUN...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular