HomeUtamaKerajaan Negeri pastikan akses pendidikan untuk semua anak Sabah

Kerajaan Negeri pastikan akses pendidikan untuk semua anak Sabah

Read Time:1 Minute, 17 Second

TAMPARULI: Kerajaan Negeri komited untuk memastikan tiada anak Sabah, khususnya daripada kumpulan B40, tercicir dalam mendapatkan akses kepada peluang pendidikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 sebelum ini, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk bantuan persekolahan dan biasiswa bagi menyokong proses pembelajaran serta merapatkan jurang pendidikan.

“Inisiatif bantuan pendidikan ini akan diteruskan di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya pada majlis penyampaian cermin mata kepada murid sekolah oleh Sabah Electricity sempena program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di SK Tamparuli di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan bahawa semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya kumpulan B40.

“Sumbangan kepada masyarakat bukan sekadar satu pilihan, tetapi merupakan satu tanggungjawab selaras dengan mandat penubuhan GLC itu sendiri.

“Saya mahu setiap GLC terus melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat yang berimpak tinggi, berfokus dan mampan, khususnya dalam memperkasa pendidikan, kebajikan serta pembangunan modal insan rakyat Sabah,” katanya.

Selain itu, Hajiji berkata setiap inisiatif yang dilaksanakan akan dipantau secara telus dan sistematik, dengan laporan berkala dikemukakan kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan keberkesanan dan akauntabiliti program.

“Pendekatan holistik yang mengimbangi prestasi operasi, kelestarian kewangan dan tanggungjawab sosial adalah selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.

Ketua Menteri turut menasihati para penerima sumbangan CSR agar menjadikan bantuan tersebut sebagai motivasi untuk terus berusaha dan kekal fokus dalam pelajaran mereka.

RELATED ARTICLES
Utama

SLS urges full legal disclosure on Malaysia–Indonesia border processes affecting Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular