HomePendapatAnalisis : Jurang Kemudahan Asas Sabah Terserlah Walaupun Pemilikan Rumah Meningkat

Analisis : Jurang Kemudahan Asas Sabah Terserlah Walaupun Pemilikan Rumah Meningkat

Read Time:3 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU, — Lebih ramai rakyat Sabah kini dapat memiliki tempat tinggal tersendiri, di samping memiliki peralatan rumah dan menikmati kemudahan asas yang menyumbang kepada kualiti serta kesejahteraan hidup.


Pada penghujung Disember 2025, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Laporan Survei Kemudahan Asas 2024, yang memaparkan tahap pemilikan tempat kediaman serta akses kepada kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, pendidikan dan kesihatan.


Laporan tersebut menunjukkan bahawa pada tahun 2024, sebanyak 76.2% isi rumah di Sabah memiliki tempat kediaman sendiri, meningkat sedikit berbanding 75.9% pada 2019. Selebihnya mendiami kediaman sewa (18.5%), meningkat daripada 17.1%, manakala 5.3% tinggal di kuarters, menurun daripada 7.0%.


Namun, peratusan pemilikan kediaman di kawasan bandar hanya 69.0%, jauh lebih rendah berbanding luar bandar yang mencatat 87.0%.


Sebagai perbandingan di peringkat nasional, kadar pemilikan tempat kediaman ialah 78.0%, kediaman disewa 19.7% dan kuarters 2.4%. Negeri dan wilayah yang merekodkan peratusan pemilikan tertinggi ialah Perlis (85.8%), manakala terendah ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya (27.1%).


Di Sabah, Kota Belud merekodkan peratusan pemilikan tertinggi iaitu 94.7%, manakala terendah ialah Penampang (61.7%). Bagi kediaman sewa, Penampang mencatat kadar tertinggi (34.8%), sementara Nabawan dan Tongod masing-masing 0%. Untuk kuarters pula, tertinggi di Kalabakan (27.4%) dan terendah di Kota Belud (0%).


Dari segi keadaan fizikal, Sabah merekodkan peratusan kediaman usang tertinggi di Malaysia iaitu 6.3%, manakala 93.7% masih dikategorikan sebagai kukuh. Di luar bandar, kadar kediaman kukuh ialah 89.4% berbanding 96.5% di bandar.

Menariknya, laporan sama turut mendedahkan tahap pemilikan peralatan rumah di Sabah, antaranya:

  • Peti sejuk: 97.4%
  • Dapur masak gas/elektrik: 98.8%
  • Mesin basuh: 93.7%
  • Televisyen: 87.6%
  • Komputer riba: 46.3%
  • Alat penghawa dingin: 48.5%
  • Penapis air: 56.3%
  • Siaran TV berbayar: 34.5%
  • Langganan internet: 99.5%

Namun, hanya 28.1% isi rumah di Sabah memiliki microwave oven, dengan daerah Putatan mencatat kadar tertinggi (53.1%), sekali gus menunjukkan jurang ketara dalam pemilikan peralatan moden.


Dari aspek kemudahan asas, sebanyak 89.2% isi rumah di Sabah menerima air paip terawat, lebih rendah berbanding kadar nasional 97.2%. Daerah tertinggi ialah Kuala Penyu (100%), manakala terendah Ranau (46.5%).


Bagi bekalan elektrik pula, 99.2% isi rumah di Sabah menerima bekalan, dengan 20 daripada 28 daerah mencatat 100%. Peratusan terendah direkodkan di Beluran (83.0%) dan Pitas (87.0%).


Laporan turut menunjukkan bahawa 93.7% kediaman berada kurang lima kilometer dari sekolah rendah, dan 83.7% daripada sekolah menengah. Untuk fasiliti kesihatan, 89.7% kediaman berada kurang lima kilometer dari kemudahan awam, namun hanya 77.8% bagi kemudahan swasta.


Dalam perkembangan berkaitan, Rahim & Co dalam Property Market Review 2025/2026 melaporkan bahawa sepanjang separuh pertama 2025, sebanyak 2,772 transaksi kediaman direkodkan di Sabah, meningkat 1.4%, namun nilai transaksi menurun 1.5% kepada RM1.13 bilion.


Majoriti transaksi melibatkan kediaman bawah RM500,000, khususnya rumah teres (37%) serta kondominium dan apartmen (28%). Stok kediaman pula meningkat kepada 247,802 unit, dengan Kota Kinabalu mencatat jumlah tertinggi.


Sejajar keperluan perumahan mampu milik, Kerajaan Sabah memperkenalkan Rumah Mesra SMJ sejak September 2022, dengan 7,482 unit dibina dan 3,790 daripadanya telah siap. Di bawah Belanjawan Sabah 2025, RM250 juta diperuntukkan bagi membina 3,000 unit baharu.


Di bawah Belanjawan Sabah 2026 pula, kerajaan negeri akan menambah kuota Rumah Mesra SMJ kepada 50 unit bagi setiap DUN serta menyediakan bantuan subsidi deposit rumah pertama kepada golongan muda.


Selaras dengan slogan “Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan”, inisiatif ini diharap dapat membantu rakyat Sabah bukan sahaja memiliki kediaman yang selesa, malah meningkatkan tahap pemilikan peralatan rumah moden termasuk microwave oven sebagai simbol peningkatan taraf hidup.

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Lebuhraya bertol dan Pan Borneo Sabah: Antara kesediaan membayar dan krisis...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular