HomeUtamaBapa amang seksual anak kandung kekal dipenjara, disebat

Bapa amang seksual anak kandung kekal dipenjara, disebat

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Cubaan seorang ayah untuk meringankan hukumannya tidak berjaya selepas Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 20 tahun serta tiga sebatan atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya.

Hakim Maslinda @ Linda Mohd Aina turut menjatuhkan hukuman tambahan penjara selama tiga tahun berserta dua sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara tersebut dijalankan secara berasingan.

Maslinda memutuskan untuk menolak rayuan perayu (tertuduh) selepas mendapati tiada sebarang fakta atau keterangan yang mewajarkan campur tangan mahkamah terhadap dapatan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen, selain mendapati hukuman yang dikenakan adalah tidak berlebihan.

Bagaimanapun, mahkamah menyedari bahawa hukuman di bawah Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 tidak dinyatakan dalam alasan penghakiman Mahkamah Sesyen. Sehubungan itu, mahkamah menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 325 Kanun Tatacara Jenayah untuk menjatuhkan hukuman selaras dengan peruntukan undang-undang tersebut.

Tertuduh telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 19 Disember 2024 dan Mahkamah Sesyen ketika itu menolak permohonan penangguhan hukuman daripada pihak tertuduh.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun dan satu sebatan kerana melakukan kesalahan itu terhadap anak perempuannya yang ketika itu berusia 12 tahun pada petang 3 Oktober 2022 di sebuah rumah di Kepayan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun dan dua sebatan kerana melakukan kesalahan yang sama terhadap mangsa yang sama antara April hingga Mei 2022 di lokasi yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) Akta yang sama.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan berasingan. Selepas selesai menjalani hukuman penjara, tertuduh turut diperintahkan untuk diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.

Perayu diwakili oleh peguam Mohd Al Hafidz Mohd Lokman manakala Timbalan Pendakwa Raya Sofia S. Sawayan mewakili pihak responden.

RELATED ARTICLES
Utama

Zara dimarahi, suara senior didengari sekitar blok asrama – Saksi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular