HomeUtamaSMJ 2.0: Sabah tetapkan hala tuju sendiri

SMJ 2.0: Sabah tetapkan hala tuju sendiri

Read Time:2 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU: Sabah tekad bergerak sebagai sebuah negeri yang yakin, berdaya saing dan dihormati, bukan sahaja dalam Malaysia malah di peringkat antarabangsa.

Pelancaran Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada 30 Januari ini menjadi penanda aras baharu komitmen kerajaan negeri untuk memastikan kesinambungan dasar, kestabilan pentadbiran dan penyampaian pembangunan yang lebih berkesan demi kepentingan rakyat Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, sejak sekian lama rakyat Sabah diminta bersabar dan menerima pelbagai kekangan dengan harapan kemajuan akan tiba mengikut masa, namun masa semata-mata tidak mampu membina masa depan tanpa keputusan yang tepat dan pelaksanaan yang berkesan.

Menurutnya, SMJ 2.0 merupakan isyarat jelas bahawa Sabah tidak lagi mahu hanya ‘mengikut arus’ tetapi Sabah kini bersedia menentukan hala tuju sendiri, dipandu oleh keyakinan, daya saing dan keazaman untuk dihormati di peringkat nasional serta antarabangsa.

“Sabah tidak pernah kekurangan bakat atau sumber. Apa yang sering menjadi cabaran ialah kesinambungan. Tanpa kestabilan, institusi sukar matang, projek terbantut dan pembaharuan gagal memberi impak sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketidakstabilan politik sebelum ini telah menyebabkan perubahan keutamaan secara mendadak, sekali gus mengakibatkan rakyat Sabah menanggung kesan kerugian, termasuk kehilangan momentum projek infrastruktur utama seperti Lebuhraya Pan Borneo selepas pembatalan model Project Delivery Partner oleh pentadbiran terdahulu.

Lebih membimbangkan, katanya, keputusan menamatkan secara tidak sah sembilan operator loji rawatan air (LRA) di seluruh Sabah telah menyebabkan kerajaan negeri terpaksa membayar pampasan dan ganti rugi berjumlah RM315 juta.

“Jumlah itu boleh digunakan untuk membina lebih 3,000 unit Rumah Mesra SMJ bagi golongan miskin tegar. Tiga ribu keluarga yang sepatutnya menikmati kediaman sendiri. Inilah harga keputusan tergesa-gesa tanpa kesinambungan,” jelasnya.

Datuk Ceasar berkata, SMJ 1.0 sebelum ini memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan pentadbiran, memulihkan keyakinan rakyat, memperkemas penyelarasan, mengukuhkan disiplin kewangan serta menetapkan keutamaan pembangunan yang jelas.

“Rumah tidak boleh dibesarkan jika tiangnya masih retak. SMJ 1.0 adalah fasa asas,” katanya.

Menurut beliau, SMJ 2.0 kini membawa Sabah ke fasa transformasi, dengan penekanan kepada pembaikan menyeluruh, pembinaan berfokus serta pengukuran prestasi berdasarkan hasil yang benar-benar dapat dilihat dan dirasai rakyat.

SMJ 2.0, katanya, berteraskan prinsip Rumah Kita, Kita Jaga, yang meletakkan kepentingan Sabah sebagai keutamaan, mempertahankan hak negeri serta membentuk pembangunan oleh rakyat Sabah untuk masa depan Sabah.

Hala tuju pembangunan ini dipandu oleh empat teras utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.

Sabah First menekankan keperluan harian rakyat serta hak Sabah yang tidak boleh diketepikan, manakala Sabah Forward memfokuskan kesiapsiagaan menghadapi ekonomi masa depan melalui pembangunan kemahiran, keupayaan digital dan industri baharu bernilai tinggi.

Sabah Prosper pula memastikan kemajuan dirasai secara menyeluruh, perkhidmatan asas berfungsi dengan baik, pendapatan rakyat meningkat serta peluang ekonomi yang nyata diwujudkan, sementara Sabah United menekankan kepentingan kestabilan, perpaduan dan keyakinan dalam kepelbagaian masyarakat Sabah.

Mengulas peranan generasi muda, Datuk Ceasar berkata anak muda Sabah tidak menuntut keistimewaan, sebaliknya peluang yang adil untuk mendapatkan pekerjaan berkualiti, kemahiran relevan, kos sara hidup yang lebih mampu serta keyakinan membina masa depan di negeri sendiri.

Beliau turut menegaskan kepimpinan stabil Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, sebagai faktor penting yang memastikan Sabah kekal stabil ketika ketidakstabilan lebih mudah berlaku.

“Kestabilan bukan matlamat akhir, tetapi asas kepada hasil yang nyata. SMJ 2.0 adalah usaha menukar kestabilan kepada momentum, dan momentum kepada penyampaian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pelancaran SMJ 2.0 bukan sekadar pengenalan satu dokumen dasar, sebaliknya penetapan haluan baharu Sabah yang berteraskan maruah, dipacu prestasi dan diperkukuh melalui perpaduan.

“Percaya pada Sabah. Yakin pada kepimpinan yang stabil. Mari kita maju bersama,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Papar tuan rumah pelancaran Pesta Kaamatan Negeri Sabah 2026

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular