KOTA KINABALU: Tiga responden dalam petisyen pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin akan mengemukakan bantahan awal (preliminary objection) bagi mencabar petisyen tersebut.
Responden tersebut adalah Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) bagi DUN Sindumin, Abdul Karim AM Zahari; Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan calon Warisan Yusri Pungut, yang memenangi kerusi DUN Sindumin pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17.
Semasa prosiding yang diadakan melalui Zoom hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuching Dean Wayne Daly, mahkamah mengarahkan para responden untuk mengemukakan bantahan awal masing-masing selewat-lewatnya 5 Februari 2026.
Mahkamah juga mengarahkan semua pihak untuk memfailkan dan menyampaikan hujah bertulis mereka mengenai bantahan awal pada atau sebelum 12 Februari 2026.
Pendengaran bantahan awal responden ditetapkan pada 16 Februari 2026, yang akan belangsung secara dalam talian.
Pada 26 Disember lalu seorang pengundi Wendey Agong Baruh, 34, memfailkan petisyen tersebut bagi mencabar keputusan PRU DU Sabah ke-17 bagi DUN Sindumin.
Beliau menamakan RO; SPR; dan Yusri masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.
Dalam petisyen itu, pempetisyen mendakwa bahawa pada 23 Disember 2025, beliau menerima satu rakaman video daripada seorang wanita yang memaparkan seorang pegawai SPR memakai vest berlabel “PETUGAS” didakwa merenyukkan sekeping kertas undi semasa proses pengiraan undi.
Rakaman video berkenaan didakwa menunjukkan pegawai tersebut menyembunyikan kertas undi yang dironyokkan di antara peti undi dan sebuah kotak putih berlabel “UNDI BELUM DIKIRA”. Pempetisyen mendakwa kertas berkenaan dikenal pasti sebagai kertas undi berdasarkan warna jingganya (orange).
Pempetisyen mendakwa perbuatan meronyokkan kertas undi itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 3(1)(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang melibatkan perbuatan merosakkan atau memusnahkan kertas undi secara penipuan.
Beliau turut berhujah bahawa kertas undi, sama ada sah atau ditolak, tidak boleh dironyokkan semasa proses pengiraan kerana ia boleh menjejaskan jumlah undi.
Pempetisyen mendakwa keputusan pilihan raya berkenaan telah terjejas dan pemilihan responden ketiga (Yusri) perlu diisytiharkan terbatal di bawah Seksyen 32(b) akta sama.
Sehubungan itu, pempetisyen memohon satu perisytiharan bahawa pilihan raya bagi DUN Sindumin yang diadakan pada 29 November adalah terbatal; satu perisytiharan bahawa Yusri Pungut tidak dipilih secara sah atau tidak sepatutnya diisytiharkan sebagai pemenang; kos; serta apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Pada PRU DU Sabah ke-17, Yusri memenangi kerusi Sindumin menewaskan Datuk Yamani Hafez Musa daripada Pakatan Harapan dengan majoriti 362 undi dalam pertandingan 10 penjuru.
Calon lain ialah Abdillah Jalaf @ Dila (Bebas) dengan 2,570 undi, Moktar Matussin (Star) 1,469 undi, Sani Miasin (KDM) 875 undi, Dayang Syafiqah (PN) 705 undi, Markus Buas (Parti Impian Sabah) 293 undi, Wilson Liou (Bebas) 54 undi, Kanafia Bujang (Parti Kebangsaan Sabah) 37 undi dan Ibrahim Tuah (Bebas) 30 undi.
Pempetisyen diwakili oleh melalui peguamnya peguam Ag Amli Noraufe Ag Nohin dan Norlaily Anuar. Yusri yang juga merupakan seorang peguam mewakili dirinya sendiri.



