HomeUtamaSMJ 2.0 perkukuh ekonomi Sabah melalui industri, pelancongan dan pertanian

SMJ 2.0 perkukuh ekonomi Sabah melalui industri, pelancongan dan pertanian

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sektor perindustrian, pelancongan dan pertanian akan terus menjadi teras utama pembangunan ekonomi Sabah di bawah pelaksanaan SMJ 2.0, dengan sokongan agenda baharu ekonomi biru.

Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sabah, Azrul Ibrahim berkata sektor perindustrian akan diperkasa bagi menarik pelabur asing dan domestik, khususnya dalam bidang teknologi maklumat (IT), minyak dan gas, industri berat serta teknologi tinggi bagi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada anak Sabah.

“Selain itu pemerkasaan ekonomi biru merupakan salah satu agenda penting kerajaan negeri. Perdana Menteri sendiri turut menekankan kepentingan Sabah memanfaatkan ekonomi biru. Dalam dokumen halatuju SMJ 2.0, potensi ekonomi biru akan diperincikan dengan lebih terperinci, selain menekankan aspek-aspek pembangunan lain yang berkaitan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini, hari ini.

Mengenai sektor pelancongan pula, Azrul berkata Sabah merekodkan hampir 10 juta kedatangan pelancong secara kumulatif dalam tempoh lima tahun lalu hasil promosi berterusan kerajaan negeri.

Manakala dalam sektor pertanian, beliau berkata, kerajaan akan mempercepatkan pembangunan melalui penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sabah serta penerokaan tanaman bernilai tinggi seperti durian dan buah-buahan.

“Kerajaan negeri turut merancang pembukaan taman perindustrian baharu di Kudat, Kota Belud dan Beaufort bagi menyeimbangkan pembangunan wilayah dan merancakkan ekonomi tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azrul memaklumkan Kerajaan Negeri Sabah secara rasmi mengiktiraf Sijil Unified Examination Certificate (UEC) sebagai kelayakan akademik untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan milik kerajaan negeri, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pelajar kaum Tionghoa.

Beliau berkata pengiktirafan UEC yang diluluskan tahun lalu turut membolehkan lepasan UEC memohon biasiswa kerajaan negeri Sabah, dengan seramai 37 pelajar Sabah telah menerima tajaan setakat ini.

“Ini bukti keterbukaan dan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan keadilan pendidikan tanpa mengira latar belakang kaum atau agama,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri akan meneruskan agenda pendidikan percuma sepenuhnya di institusi milik kerajaan negeri seperti Universiti College Sabah Foundation (UCSF) dan Kolej Tingkatan Enam Yayasan Sabah (KTYS), dengan sasaran diperluaskan kepada sekolah agama negeri pada masa hadapan.

Manakala dalam aspek kebajikan rakyat, beliau berkata, program Rumah Mesra SMJ dan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) akan diteruskan bagi mengurangkan kadar miskin tegar di negeri ini.

Azrul turut memaklumkan kerajaan negeri menyasarkan hasil Sabah mencecah RM10 bilion menjelang 2030 selain merancang penubuhan Sabah Sovereign Wealth Fund sebagai tabung kekayaan masa depan negeri.

“Langkah ini memastikan hasil Sabah dapat dimanfaatkan secara mampan oleh generasi hari ini dan generasi akan datang,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Ahli Parlimen Ranau Gesa Kerusi Parlimen Sabah Diperkasa, Tuntut Hak 40%...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular