Oleh Wan Azrain
KUALA LUMPUR,— Perkhidmatan awam merupakan teras utama kepada agenda pembangunan negara dan justeru kualiti serta integritinya perlu terus diperkasa selaras dengan aspirasi negara dan harapan rakyat.
Titah Yang di-Pertuan Agong sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 baru-baru ini jelas menekankan kepentingan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 demi kesejahteraan rakyat, selain komitmen memerangi gejala rasuah secara tegas.
Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa perancangan tidak akan sempurna sekiranya rasuah terus berleluasa, dan mengingatkan bahawa Ahli Yang Berhormat serta penjawat awam yang menyalahgunakan kuasa, menyeleweng dana awam, menerima rasuah atau bersubahat melindungi perasuah adalah pengkhianat negara.
kejayaan RMK13 yang bermula secara rasmi pada tahun ini bergantung besar kepada penjawat awam, bukan sahaja sebagai perancang dasar dan pelan pembangunan, malah sebagai pelaksana yang menggerakkan jentera kerajaan bagi memastikan perancangan dilaksanakan dengan berkesan demi kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.
Namun, perkhidmatan awam sering terpalit dengan isu integriti sehingga menimbulkan persepsi bahawa rasuah dan salah laku berleluasa, seolah-olah menggambarkan keadaan yang telah mencapai tahap kritikal.
Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata dalam tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024, jumlah tangkapan berkaitan rasuah melibatkan penjawat awam meningkat 22 peratus daripada 467 kepada 570 orang.
Sebagai perbandingan, katanya, jumlah tangkapan melibatkan orang awam pula melonjak 44 peratus daripada 531 kepada 764 orang dalam tempoh yang sama.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) pula setiap tahun terus menonjolkan pelbagai kelemahan serta ketidakcekapan tadbir urus di kementerian, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang bukan sahaja merencatkan agenda pembangunan negara, malah menyebabkan kerajaan menanggung kerugian besar.
Menyentuh soal kebajikan penjawat awam, beliau berkata kerajaan telah melaksanakan pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) menerusi dua fasa, dengan Fasa 1 bermula Disember 2024 dan Fasa 2 pada Januari 2026.
Fasa 2 yang bermula pada 22 Januari lalu melibatkan kenaikan antara tiga hingga tujuh peratus, manakala Fasa 1 sebelum ini mencatatkan kenaikan antara empat hingga lapan peratus.
Secara keseluruhan, ujar beliau, kadar pelarasan gaji melibatkan peningkatan antara tujuh hingga 15 peratus mengikut kumpulan penjawat awam, dan merupakan pelarasan terbesar sejak semakan gaji pada 2013, yang diumumkan Perdana Menteri sempena sambutan Hari Pekerja 2024.
Beliau berkata, di bawah Belanjawan Malaysia 2026, perbelanjaan emolumen meningkat 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya susulan pelaksanaan Fasa 2 SSPA.
Menurutnya, dengan pelarasan besar dan perbelanjaan tahunan yang tinggi, rakyat sememangnya mengharapkan mutu penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cemerlang bagi memastikan agenda pembangunan negara mencapai matlamat yang ditetapkan.
Usaha melonjakkan kecemerlangan perkhidmatan awam bukanlah mudah memandangkan saiznya yang besar dan meliputi seluruh negara.
Pada November 2025, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) memaklumkan Dewan Rakyat bahawa setakat 24 September 2025, jumlah penjawat awam adalah seramai 1,305,976 orang, tidak termasuk anggota polis dan tentera.
Daripada jumlah itu, 67.63 peratus atau 883,332 orang berada di bawah tiga kementerian utama iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan Tinggi, sekali gus menunjukkan sebahagian besar penjawat awam terdiri daripada golongan pendidik dan petugas kesihatan.
Menyentuh mengenai data Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sehingga 30 November 2024, terdapat 1.76 juta perjawatan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan kadar pengisian sebanyak 1.49 juta.
jumlah perjawatan itu meningkat tiga peratus atau 52,671 jawatan dalam tempoh lima tahun, daripada 1.71 juta pada 2020 kepada 1.76 juta pada 2024.
Peningkatan berterusan ini membuktikan saiz perkhidmatan awam negara terus membesar, sekali gus meningkatkan beban emolumen kerajaan, yang bertentangan dengan pandangan bahawa saiznya sudah terlalu besar berbanding jumlah penduduk.
Pada Februari 2019, Perdana Menteri pernah menyatakan saiz perkhidmatan awam perlu dikurangkan kerana melibatkan perbelanjaan mengurus yang tinggi dan menjejaskan peruntukan pembangunan.
Namun, pendirian itu belum diterjemahkan dalam pelaksanaan apabila data menunjukkan pertambahan perjawatan yang berterusan.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) kini menyasarkan 30,000 lantikan baharu pada 2026, lebih tinggi berbanding 25,000 pada tahun sebelumnya.
Mengulas cadangan pengurangan saiz, persoalan utama sering timbul ialah di mana pengurangan boleh dibuat, memandangkan majoriti penjawat awam terdiri daripada guru dan petugas kesihatan yang sendiri berdepan kekurangan tenaga kerja.
Sebarang pengurangan juga dibimbangi boleh meningkatkan kadar pengangguran dan underemployment, khususnya dalam era Revolusi Industri 4.0 yang menyaksikan peningkatan automasi dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan.
Sehubungan itu, walaupun pelbagai isu dan keresahan dibangkitkan, apa yang jelas ialah saiz perkhidmatan awam yang semakin membesar adalah tidak mampan untuk jangka panjang dan akan menjadi beban besar kepada kewangan negara.
sementara perbincangan menyeluruh diteruskan, penjawat awam perlu terus melaksanakan tugas dengan penuh integriti selari dengan slogan “Bersih, Cekap dan Amanah”.



