Oleh Wan Azrain Adnan
Isu kebanjiran penduduk bukan warganegara di Sabah bukanlah perkara baharu, namun ia kini semakin menyerlah sebagai cabaran besar kepada kesejahteraan negeri. Ia merupakan isu kompleks yang menuntut kesepakatan semua pihak untuk penyelesaian jangka panjang yang berimbang, realistik dan berperikemanusiaan.
Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang diterbitkan baru-baru ini menunjukkan Sabah merekodkan jumlah dan peratusan penduduk bukan warganegara tertinggi di Malaysia pada tahun 2025, iaitu seramai 1.04 juta orang atau 30.8 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negeri.
Secara ringkas, bagi setiap tiga individu yang ditemui di Sabah, seorang daripadanya ialah warga asing. Walaupun angka ini mungkin sukar diterima, ia mencerminkan realiti yang telah terbina sejak sekian lama.
Perbandingan dengan negeri lain menunjukkan jurang yang ketara. Selangor merekodkan 21.5 peratus, Johor 11.4 peratus, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 8.0 peratus dan Pulau Pinang 5.3 peratus.
Susulan pendedahan ini, pelbagai reaksi muncul, termasuk kenyataan bersama empat ADUN Sabah dari Parti Warisan yang menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi sosial dan keselamatan. Pada masa sama, Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) membidas dakwaan yang mengaitkan data tersebut secara langsung dengan isu pendatang tanpa izin (PATI), dengan alasan ia mengelirukan tafsiran statistik.
Menurut takrif DOSM, penduduk bukan warganegara merangkumi semua individu yang menetap di sesebuah negara tetapi tidak memiliki kewarganegaraan, termasuk mereka yang tidak berdokumen dan juga individu tanpa kewarganegaraan (stateless).
Ini bermakna, angka yang dilaporkan merangkumi kedua-dua kategori – sama ada mereka yang berada secara sah atau sebaliknya. Namun, ketiadaan pecahan terperinci mengikut status imigresen dan negara asal telah menimbulkan spekulasi serta kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Lebih memburukkan keadaan, Sabah sememangnya berdepan isu legasi penduduk tanpa dokumen sejak sekian lama. Pada Oktober 2022, Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata lebih satu juta individu tanpa dokumen berada di Sabah. Berdasarkan konteks ini, tidak keterlaluan untuk mengandaikan bahawa sebahagian besar penduduk bukan warganegara yang direkodkan DOSM adalah golongan tanpa dokumen.
Dari sudut trend, jumlah ini meningkat 28 peratus dalam tempoh lima tahun (2020–2025). Selepas menurun ketika pandemik, ia melonjak semula sebaik sempadan dibuka. Namun, jika diteliti dalam jangka panjang, peratusan penduduk bukan warganegara sebenarnya telah menurun daripada 56.5 peratus pada 1991 kepada 30.8 peratus pada 2025.
Walaupun peratusan keseluruhan menunjukkan penurunan jangka panjang, taburan setempat tetap membimbangkan. Di Kinabatangan, Kalabakan dan Kunak, penduduk bukan warganegara masing-masing melebihi 50 peratus daripada jumlah penduduk daerah – malah di sesetengah kawasan, mereka mengatasi jumlah warganegara.
Implikasinya bukan sahaja kepada kedaulatan dan keselamatan, tetapi turut memberi tekanan besar kepada kemudahan asas. Kekurangan air di Universiti Malaysia Sabah sebelum ini, misalnya, dikaitkan dengan koloni setinggan besar di Sepanggar yang menyebabkan kecurian air mencecah 18 juta liter sehari.
Fenomena perumahan haram, kecurian elektrik dan air, serta kesesakan kemudahan awam bukan lagi terpencil, sebaliknya berlaku secara meluas. Pada Julai 2024, Polis Sabah dilaporkan telah merobohkan lebih 1,300 rumah setinggan haram di seluruh negeri.
Dalam sektor kesihatan pula, Sabah merekodkan tunggakan bil rawatan warga asing tertinggi di Malaysia, sebahagian daripada jumlah nasional RM40 juta setakat 2023.
Lebih membimbangkan, kemiskinan generasi dalam kalangan penduduk tanpa dokumen mewujudkan kitaran masalah sosial. Tanpa akses pekerjaan formal, sebahagian terheret ke dalam kegiatan jenayah. Data DOSM menunjukkan banduan bukan warganegara di Sabah melonjak 162 peratus antara 2021 hingga 2024.
Hakikatnya, kebanjiran penduduk bukan warganegara memberi impak besar kepada Sabah dan merumitkan agenda pembangunan sosioekonomi negeri.
Oleh itu, semua pihak perlu mengelakkan naratif yang memecah-belahkan atau menambah kekeliruan. Sebaliknya, perbincangan harus berteraskan fakta, empati dan semangat kebersamaan demi kesejahteraan Sabah yang mampan.



