KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu menolak sebarang kenyataan mencadangkan bahawa tuntutan Sabah ke atas pelantar benua dan sumber petroleum tidak mempunyai asas sejarah atau perlembagaan, kata Pengerusi BIMP-EAGA Sabah, Dr Raymond Alfred.
Raymond berkata, kenyataan yang baru-baru ini disampaikan oleh Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mendakwa bahawa hak-hak tersebut kononnya tidak dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), adalah tidak tepat dari sudut sejarah, tidak lengkap dari segi perlembagaan serta bercanggah dengan MA63.
“MA63 ialah perjanjian pengasas di mana Sabah bersetuju untuk membentuk Malaysia sebagai rakan setara, bukannya sebuah negeri bawahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Raymond berkata sebelum 16 September 1963, Sabah (ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara) merupakan sebuah wilayah yang mentadbir sendiri dengan bidang kuasa penuh ke atas tanah dan perairan dalaman; laut wilayah; dasar laut dan tanah di bawahnya; dan sumber asli, termasuk petroleum
“Hak-hak ini dilaksanakan di bawah undang-undang Sabah sendiri, termasuk Mining Ordinance 1960 (Sabah) dan Oil Mining Ordinance 1958 (Sarawak), dan tidak pernah diserahkan sepenuhnya melalui MA63.
“MA63 tidak memansuhkan hak wilayah atau hak sumber Sabah. Sebaliknya, MA63 memperlembagakan hak-hak tersebut dalam satu kerangka Persekutuan yang berasaskan persetujuan, autonomi dan kesaksamaan,” katanya.
Beliau turut mengulas mengenai Akta Pelantar Benua 1966 [Akta 83] dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 [Akta 95], yang menurutnya digubal selepas MA63 dan pada asalnya hanya bertujuan untuk Semenanjung Malaysia.
Raymond berkata, kedua-dua akta itu tidak terpakai secara automatik kepada Sabah atau Sarawak dan tidak pernah diterima pakai oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
“Penggunaannya ke atas Sabah hanya berlaku pada tahun 1969 melalui Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) No.10, susulan peristiwa 13 Mei,” katanya.
Menurut beliau, pelanjutan undang-undang tersebut dilaksanakan di bawah kuasa darurat, tanpa persetujuan Sabah, tidak disertai pindaan Perlembagaan dan bercanggah dengan perlindungan yang dijamin oleh MA63.
“Undang-undang darurat, secara sifatnya, adalah sementara dan tidak pernah dimaksudkan untuk mengubah secara kekal wilayah negeri, pemilikan sumber atau imbangan perlembagaan,” katanya.
Beliau seterusnya menegaskan bahawa dengan pemansuhan proklamasi darurat pada tahun 2011 dan 2012, timbul persoalan perlembagaan yang serius mengenai kesinambungan pemakaian pemakaian Akta 83 dan Akta 95 ke atas Sabah.
“Pendekatan Sabah bukanlah sesuatu yang baharu, bersifat politik atau oportunis. Ia adalah kesan logik daripada pemulihan perlembagaan selepas tamatnya pemerintahan darurat,” katanya.
Raymond berkata kedudukan Sabah berasaskan kukuh kepada Perlembagaan Persekutuan kukuh, dengan merujuk kepada Artikel 1(3) yang memelihara wilayah Sabah sebagaimana wujud sejurus sebelum Hari Malaysia; Artikel 95D yang menyatakan bahawa undang-undang Persekutuan mengenai perkara dalam Senarai Negeri — termasuk tanah dan sumber asli — tidak terpakai kepada Sabah melainkan diterima pakai oleh Dewan Undangan Negeri Sabah; serta Artikel 112C dan 112D yang menjamin hak kewangan dan hasil khas Sabah.
“Peruntukan ini diwujudkan kerana MA63 mengiktiraf kedudukan perlembagaan Sabah yang tersendiri dan tidak boleh diketepikan oleh undang-undang Persekutuan biasa atau tafsiran awam yang sempit,” jelasnya.
Raymond menegaskan bahawa MA63 bukan slogan politik, bukan dasar pilihan, dan bukan dokumen simbolik, sebaliknya merupakan perjanjian antarabangsa yang mengikat, telah diperbadankan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan baru-baru ini ditegaskan semula melalui pindaan perlembagaan yang mengembalikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dalam Persekutuan.
“Sebarang usaha untuk meremehkan MA63 atau mentafsirkannya secara sempit — khususnya berkaitan wilayah dan sumber — adalah bertentangan dengan sejarah dan undang-undang perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Sabah menolak sebarang naratif yang menganggap kawalan Persekutuan era darurat sebagai kekal dan tidak boleh dipersoalkan, menafikan asas perlembagaan tuntutan Sabah, atau mengurangkan MA63 kepada isu politik semata-mata.
Raymond turut menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mengiktiraf bahawa Akta 83 dan Akta 95 dikenakan ke atas Sabah melalui kuasa darurat, menghormati MA63 sebagai rangka perlembagaan yang mengikat, serta melibatkan Sabah melalui mekanisme perlembagaan dan institusi yang sewajarnya.
Beliau mencadangkan penubuhan platform Persekutuan–Negeri yang tersusun bagi menangani isu pelantar benua, tadbir urus petroleum dan hasil negeri berasaskan undang-undang, rekod arkib dan saling menghormati.
“Usaha Sabah menuntut haknya mengukuhkan Persekutuan. Mengabaikan sejarah dan perlindungan perlembagaan hanya akan melemahkannya.
“MA63 tidak boleh dirunding. Sejarah tidak boleh dipilih. Hak Sabah adalah hak perlembagaan,” katanya.



