KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan peguam kepada Albert Tei untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar dua arahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa melanggar prinsip keistimewaan antara peguam dan anak guam.
Hakim Alice Yoke Yee Ching memutuskan bahawa perkara yang berkaitan dengan proses penyiasatan oleh pihak penguat kuasa tidak tertakluk kepada campur tangan mahkamah melalui semakan kehakiman.
Permohonan itu dikemukakan oleh Mahajoth Singh, yang mewakili ahli perniagaan Albert Tei, bagi membatalkan dua notis SPRM bertarikh 29 dan 30 November 2025.
Menurut hakim, dakwaan bahawa SPRM bertindak dengan niat jahat atau mengeluarkan notis yang bercanggah dengan undang-undang tidak dapat dibuktikan.
“Atas sebab-sebab ini, saya mendapati tiada hujah yang kukuh untuk memberi kebenaran. Saya juga tidak membuat sebarang perintah mengenai kos,” katanya.
Mahajoth memohon perintah certiorari untuk membatalkan notis yang mengarahkan beliau hadir bagi disoal siasat serta mengemukakan dokumen di bawah Seksyen 30(1)(a) dan (b) Akta SPRM.
Beliau mendakwa menerima notis tersebut selepas anak guamnya ditahan pada 28 November 2025 dan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya, yang menurutnya dilakukan tanpa penjelasan munasabah.
Antara barangan dan maklumat yang diminta dalam arahan itu termasuk telefon bimbit Tei, dokumen berkaitan pembelian perabot dan pakaian, sebuah kamera, serta salinan perbualan WhatsApp antara Tei dan beberapa individu.
SPRM diwakili oleh Peguam Persekutuan V. Krishna Priya, manakala Mahajoth diwakili oleh N. Surendran dan Rajesh Nagarajan.



