Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pembangunan modal insan, kesejahteraan rakyat, pengukuhan infrastruktur serta kelestarian hijau digariskan sebagai teras utama pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi memastikan pembangunan negeri yang inklusif dan mampan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembangunan modal insan diberi keutamaan dengan peruntukan sebanyak RM164.01 juta, meliputi peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan pertanian serta literasi kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, SMJ 2.0 turut meneruskan pelbagai bantuan pendidikan, termasuk 14 jenis bantuan bernilai RM203.4 juta, manakala peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat daripada RM55 juta pada 2021 kepada RM145 juta pada 2025.
Katanya, seramai 480,000 pelajar menerima manfaat bantuan pendidikan kerajaan negeri, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) bagi tujuan permohonan biasiswa serta kemasukan ke dalam perkhidmatan awam.
“Program Rumah Mesra SMJ telah dapat dimanfaatkan oleh seramai 7,482 penerima dan diteruskan dengan 50 unit setiap kawasan DUN tahun ini, khusus untuk golongan miskin, miskin tegar dan pasangan muda baru berkahwin.
“Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) diperluas daripada 100,000 kepada 140,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta pada tahun ini, selari bantuan Kerajaan Persekutuan seperti Sumbangan Asas Rahmah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan Pelancaran SMJ 2.0 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.
Hajiji berkata, di bawah teras Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, sebanyak RM6.8 bilion diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi pembangunan infrastruktur, utiliti dan tenaga lestari.
Menurutnya, peruntukan itu meliputi projek strategik seperti Lebuh Raya Pan Borneo, pembinaan serta naik taraf loji rawatan air, pengukuhan grid elektrik, selain pembangunan projek Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC), hidroelektrik dan penjanaan tenaga biru.
Katanya, kerajaan negeri turut memperluas infrastruktur digital menerusi pelaksanaan Pusat e-Desa, Very Small Aperture Terminal (VSAT) dan Starlink, selari agenda kerajaan digital berteraskan AI.
Dalam aspek kelestarian hijau, beliau berkata sebanyak RM672.05 juta diperuntukkan bagi perlindungan biodiversiti, pemuliharaan alam sekitar serta tindak balas terhadap perubahan iklim, dengan sasaran mencapai 30 peratus Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menjelang 2030.
Hajiji berkata, Ekonomi Biru diangkat sebagai pemacu strategik SMJ 2.0 merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari, selain memanfaatkan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar.
Menurutnya, kerajaan memperkenalkan inisiatif Blue Financing menerusi memorandum persefahaman (MoU) bersama Maybank bagi penerbitan Sukuk Biru bernilai RM1 bilion, dengan jumlah permulaan RM300 juta, bagi memudahkan syarikat terlibat mendapatkan kemudahan pembiayaan.
Hajiji menegaskan kejayaan SMJ 2.0 bergantung kepada peranan penjawat awam sebagai nadi utama pelaksanaan dasar, dengan kecekapan, integriti dan disiplin menjadi penentu sejauh mana pembangunan diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar dirasai rakyat.
Beliau turut menegaskan kerajaan negeri tidak akan kembali kepada pendekatan lama, sebaliknya akan terus membuat keputusan berlandaskan kepentingan jangka panjang Sabah, walaupun ada yang dilihat tidak popular.
“Kejayaan SMJ 2.0 adalah amanah bersama, memastikan peluang pekerjaan diwujudkan, pelaburan strategik diteruskan, dan pendapatan negeri diurus secara cekap, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat sekarang dan generasi akan datang,” katanya.



