TAWAU: Kerajaan negeri akan memantau kesan kenaikan tarif elektrik terhadap pengguna susulan pelaksanaan semakan semula kadar elektrik di Sabah dan Labuan yang berkuat kuasa mulai 1 Februari 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kenaikan tarif tersebut adalah minimum dan tidak membebankan majoriti pengguna domestik di negeri ini.
“Kita akan sentiasa melihat kesannya, tapi saya ingat kesannya cuma sedikit. Kalau sekarang seorang itu membayar RM100, dia cuma tambah mungkin RM15 saja. Jadi, tidaklah membebankan sangat kalau RM15 kita dapat elektrik yang bagus, jadi ini rasionalnya (kenaikan tarif),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung di Taman Sawit, Balung, di sini, pada Ahad.
Hajiji mengulas pelaksanaan semakan semula tarif oleh Sabah Electricity Sdn Bhd yang menyaksikan pelarasan kadar purata asas daripada 34.52 sen/kilowatt jam (kWj) kepada 39.70 sen/kWj.
Menurut beliau, kadar baharu itu telah diluluskan oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira keperluan semasa Sabah serta peningkatan kos operasi janaan tenaga.
“Tarif di Sabah agak rendah berbanding di Semenanjung. Kita cuma naik lima sen atau 15 peratus sahaja dan ia tidak begitu membebankan kepada rakyat biasa yang mungkin sekitar 70 hingga 80 peratus di Sabah ini.
“Perkara ini tidak dapat dielak kerana kita menanggung kos yang tinggi, bermacam-macam sekarang ini. Jadi, ia perlu untuk kita mengatasi semua ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan ketika ini menyalurkan subsidi elektrik kepada Sabah berjumlah kira-kira RM700 juta setahun atau RM3.5 bilion bagi tempoh lima tahun.
“Jadi kita tidak boleh berterusan begini. Kalau naik sedikit begitu, hanya lima sen, itu boleh mengurangkan subsidi yang diberi oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Hajiji berkata, Kabinet Negeri bersetuju dengan cadangan dikemukakan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity selepas mengambil kira peningkatan kos operasi sektor tenaga di negeri ini.



