KUALA LUMPUR, Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Haji Bandy, hari ini menegaskan bahawa tiada sebarang kehilangan wilayah melibatkan Malaysia susulan penjelasan terperinci yang diberikan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat mengenai isu sempadan Malaysia–Indonesia.
Menurut beliau, penjelasan itu penting bagi memastikan rakyat, khususnya di Sabah, memperoleh maklumat yang sahih serta tidak terpengaruh dengan dakwaan tular yang mengelirukan.
“Isu ini perlu difahami berdasarkan fakta dan dokumen rasmi, bukan sentimen atau spekulasi yang boleh mencetuskan kegelisahan,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas pembentangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini.
Menurutnya berdasarkan penjelasan Perdana Menteri, kawasan yang sebelum ini dipertikaikan merupakan kawasan rundingan yang belum dimuktamadkan atau Outstanding Boundary Problems (OBP), yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Beliau turut memaklumkan bahawa hasil pengukuran terkini menunjukkan Malaysia memperoleh tambahan keluasan wilayah, iaitu 5 hektar di Pulau Sebatik, 780 hektar di kawasan Sungai Sinapad–Sungai Sesai.
Dalam masa sama, Andy turut menjelaskan bahawa kawasan seluas 5,987 hektar yang tular di media sosial sememangnya berada di bawah pengelolaan Indonesia sejak 1915 dan tidak pernah dituntut sebagai milik Malaysia.
Selain itu, jajaran sempadan yang dimuktamadkan juga mengesahkan bahawa tiga kampung — Kampung Kabungalor, Lepaga dan Tetagas — kini sah berada di bawah kedaulatan Malaysia.
Dalam pada itu, Menurut Andi lagi proses rundingan berkenaan turut melibatkan sepenuhnya wakil Kerajaan Negeri Sabah, termasuk Pejabat Ketua Menteri dan Peguam Negeri, bagi memastikan kepentingan negeri dan rakyat sentiasa dipelihara.
Beliau menggesa semua pihak agar menghentikan penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
“Isu kedaulatan negara tidak wajar dijadikan modal politik demi kepentingan peribadi. Sebaliknya, kita harus menyokong usaha agensi teknikal dan keselamatan yang bertungkus-lumus memelihara tanah air mengikut undang-undang,” katanya.



