KOTA KINABALU, — Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah menahan seramai 53 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam pelaksanaan Ops Kutip dan Ops Sapu yang dijalankan selama dua hari bermula 2 hingga 3 Februari di sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran.
Operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan oleh Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasa dengan kekuatan 61 pegawai dan anggota dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Ibu Pejabat Kota Kinabalu.
Menurut Satu kenyataan, sepanjang tempoh operasi berkenaan, seramai 177 individu telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati 53 warga asing disyaki melanggar peruntukan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, melibatkan 24 lelaki dan 29 perempuan, kesemuanya warganegara Filipina.
Jabatan itu menegaskan komitmen berterusan untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berfokus dan bersepadu bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.



