KOTA KINABALU: Bekas Setiausaha Tetap (SUT) Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah tidak pernah mengetahui kewujudan ‘Centralised Collection Scheme’.
Datuk Michael Emban, 69, yang memberi keterangan sebagai saksi ke-13 pembelaan, berkata beliau berkhidmat dengan Kementerian Pembangunan Infrastruktur dari tahun 2016 sehingga 2018.
Beliau mengakui mengenali bekas Pengarah Jabatan Air Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, dan Timbalan Pengarah yang juga merupakan Jurutera Air Bahagian Kota Kinabalu, Teo Chee Kong, namun hanya pernah berinteraksi dengan Ag Tahir.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peguam Datuk Ansari Abdullah dalam perbicaraan melibatkan Ag Tahir dan isterinya, Fauziah Ag Piut, serta bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng.
Ansari: Semasa datuk berkhidmat di Kementerian Pembangunan Infrastruktur, adakah Datuk pernah dengar atau tahu tentang wujudnya satu skim dinamakan “centralised collection system” yang mana kontraktor membayar kepada pegawai-pegawai Jabatan Air bila mereka diberikan kontrak.
Saksi: Tiada
Ansari: Semasa datuk berkhidmat di Kementerian Pembangunan Infrastruktur, adakah Datuk pernah dengar atau tahu bahawa menteri dan pegawai-pegawai kanan di kementerian tersebut telah diberikan wang oleh Teo chee kong
Saksi: Tiada
Ansari: Adakah Datuk sendiri pernah menerimaapa-apa imbuhan berbebtuk wang dari Teo atau Lim Lam Beng
Saksi: Tiada
Menjawab soalan lain, Michael berkata sebagai pengarah Jabatan Air, Ag Tahir tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan kewangan di luar bajet yang diluluskan oleh dewan Undangan Negeri.
Michael juga berkata seorang pengarah JANS tidak mempunyai kuasa untuk melantik kontraktor.
“Biasanya untuk sebut harga bernilai RM5,000 dan ke bawah, seorang pengarah perlu memanggil jawatankuasa sebut harga di jabatan dan sebarang keputusan yang dibuat mesti dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan pelaksanaan.
“Bagi sebut harga melebihi RM5,000, jawatankuasa tender akan dipanggil dan Kementerian Kewangan akan turut terlibat dalam jawatankuasa tersebut,” jelasnya.
Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Mahadi Abdul Jumaat, saksi tidak bersetuju bahawa dia hadir ke Mahkamah susulan “tohmahan” yang mendakwa beliau salah seorang penerima rasuah skim “centralised collection system”.
Beliau juga menegaskan tidak mengetahui bahawa namanya dikaitkan sebagai penerima imbuhan daripada skim tersebut.
Namun beliau bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa beliau tidak ada membuat laporan polis atau laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjelaskan perkara itu kerana tiada pengetahuan mengenai pengaitannya dengan skim tersebut.
Sementara itu, bekas SUT Kementerian Kewangan Datuk Pengiran Hassanel PG Mohd Tahir, 68, memberi keterangan bahawa beliau tidak pernah mendengar tentang ‘Centralised Collection Scheme’.
Beliau juga menegaskan tidak pernah menerima sebarang wang daripada Teo.
“Saya berkhidmat dari 2003 hingga 2010 di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan saya mengenali (Ag Tahir tertuduh pertama) dan Lim (tertuduh ketiga).
“Saya tidak mengetahui sebarang pelanggaran peruntukan kewangan termasuk pekeliling arahan perbendaharaan sewaktu beliau menjadi pengarah JANS. Itu yang saya ingat.
“Saya tidak pasti atau tidak mengetahui mengenai penyalahgunaan kuasa oleh pengarah JANS pada masa itu,” jelas saksi.
Ketiga-tiga tertuduh berdepan dengan pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM61.57 juta, serta pemilikan barang mewah secara tidak sah antara Oktober dan November 2016.
Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim juga mengendalikan pendakwaan.
Ag Tahir dan Fauziah diwakili oleh peguam Ansari dan Erveana Ansari. Manakala Lim diwakili oleh peguam Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh, Karpaljit Singh dan Kelvin Wong.
Perbicaraan bersambung esok.



