KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus meletakkan pembangunan belia sebagai antara tonggak utama hala tuju negeri, selaras dengan pelancaran Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor komited untuk memastikan agenda pembangunan belia terus diberi keutamaan.
Katanya, ia adalah sebagai persediaan melahirkan pemimpin masa depan yang berdaya saing serta mampu menggalas tanggungjawab kepimpinan negeri.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Majlis Belia Sabah (MBS) ke Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif di Bangunan MUIS, di sini, pada Khamis yang turut disertai penyerahan watikah pelantikan kepada barisan kepimpinan MBS.
Nizam berkata, MBS perlu sentiasa bergerak seiring dengan kerajaan dalam membangunkan potensi golongan belia, selain bersiap sedia menyumbang kepada kestabilan politik dan ekonomi negeri yang menjadi asas kepada daya saing Sabah di peringkat global.

“Belia bukan sahaja pewaris kepimpinan masa depan, malah rakan strategik kerajaan dalam memastikan kesinambungan pembangunan negeri,” katanya.
Majlis Belia Sabah (MBS) atau Sabah Youth Council merupakan badan induk pertubuhan belia di negeri ini yang berperanan sebagai suara utama serta penggerak pembangunan generasi muda di Sabah.
Kunjungan MBS tersebut diketuai oleh Presidennya, Abqaree Fawwaz Abekan bersama rombongnnya.



