KOTA KINABALU: Pelajar Sekolah Menengah (SM) All Saints, Kota Kinabalu mencipta kejayaan membanggakan di peringkat antarabangsa apabila mendominasi World Youth STEM Invention Innovation 2026 (WYSII 2026) yang berlangsung di Bangkok, Thailand.
Menerusi satu kenyataan semalam, dalam pertandingan berprestij itu, SM All Saints meraih 13 pingat Emas, termasuk tiga Anugerah Khas, serta satu pingat Perak, sekali gus mengukuhkan kedudukan sekolah berkenaan sebagai antara peneraju inovasi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) belia di peringkat global.


Pertandingan anjuran Malaysia Young Scientists Organisation (MYSO) itu diadakan dari 29 Januari hingga 2 Februari 2026 di Al Meroz Hotel, menghimpunkan inovator muda dari seluruh dunia bagi mengetengahkan ciptaan dan penyelesaian berasaskan penyelidikan dalam bidang STEM.
Lebih membanggakan, SM All Saints mencatat jumlah penyertaan pelajar tertinggi berbanding sekolah lain pada WYSII 2026 dengan seramai 49 pelajar mewakili Malaysia, melibatkan pelajar Tingkatan Dua hingga Tingkatan Lima.
Sebanyak 14 pasukan pelajar dibimbing oleh barisan penyelia berpengalaman terdiri daripada Marcus Khoo Hiok Tian, Siti Azizah Md Yussof, Rishnahayu Nur Kinas, Ivy Jocelyn, Disimon Edmund, Anizan Ambo dan Adrian Bakil Nio, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kualiti penyelidikan dan pembentangan projek.
Prestasi cemerlang itu turut didorong oleh usaha kolektif pasukan STEM Warriors sekolah, yang menjadi pemangkin kepada budaya penyelidikan, inovasi dan pembelajaran kolaboratif dalam kalangan pelajar.
Pencapaian berkenaan juga diperkukuh menerusi kepimpinan Pengetua SM All Saints, Dr. Mary Gambidau, serta sokongan berterusan barisan pentadbir dan guru dalam menyediakan pendedahan serta latihan bertaraf antarabangsa.
Delegasi SM All Saints diketuai oleh Penolong Kanan Kokurikulum, Marcus Khoo, dengan Anizan sebagai Pengurus Pasukan dan Siti Azizah Md Yussof selaku Ketua Penyelia, sekali gus memastikan persiapan pasukan berjalan tersusun sepanjang penyertaan.
Selain itu, delegasi turut menerima sokongan padu ibu bapa, dengan seramai 32 orang hadir bersama, mencerminkan kerjasama erat antara pihak sekolah, pelajar dan keluarga dalam memupuk bakat inovasi.
Kejayaan pada WYSII 2026 menegaskan komitmen SM All Saints dalam melahirkan pelajar berdaya saing di peringkat global yang memiliki kemahiran penyelidikan, pemikiran inovatif dan kualiti kepimpinan, sekali gus mengukuhkan kehadiran Malaysia di pentas inovasi STEM antarabangsa.



